Kiriman pada: Tue, Jan 5th, 2016

Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Mula Beroperasi

Kongsi maklumat ini
Tags

Dua Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) yang melaksanakan dwi kurikulum iaitu Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Kurikulum Agama, Kurikulum Sekolah Rendah Agama memulakan sesi persekolahan pertama, pada Isnin.

Sistem SIRAJ yang diterapkan di SIRAJ Saidina Uthman, Bandar Tun Razak dan SIRAJ Al-Alusi, Kampung Datuk Keramat bukan sahaja menekankan dari segi agama, tetapi juga dari segi akademik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Paimuzi Yahya berkata, SIRAJ akan memberi penekanan seimbang dalam kedua-dua aliran yang ditawarkan.

“Melalui SIRAJ ini, pelajar bukan sahaja berada di satu sekolah untuk mendapatkan dua bahagian ilmu iaitu ilmu agama dan akedemik, tetapi mereka juga akan dijaga, diberi makan dan diajar mengenai akhlak, ibadah tambahan dan pemakanan,” katanya semasa ditemui dalam sidang media lawatan di SIRAJ Saidina Uthman, Bandar Tun Razak, di sini, pada Isnin.

Paimuzi juga menjelaskan, semua tenaga pengajar yang diambil layak mengajar kesemua sembilan mata pelajaran seperti Bahasa Arab, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Pada masa ini, kedua-dua sekolah terbabit hanya mengambil pelajar tahun satu dan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan akan mempertimbang untuk mengambil pelajar tahun lain pada masa akan datang.

Sementara itu, selain sistem pendidikan yang holistik, kebanyakan ibu bapa menghantar anak mereka ke SIRAJ kerana ia dapat membantu ibu bapa yang bekerja menguruskan anak mereka dengan baik.
Ini kerana SIRAJ memulakan waktu persekolahan seawal 7.30 pagi hingga 4 petang.

SIRAJ Saidina Uthman, Bandar Tun Razak membuat pengambilan pertama pelajar tahun satu seramai 210 membabitkan enam kelas, manakala SIRAJ Al-Alusi, Datuk Keramat pula membuat pengambilan pelajar seramai 140 orang membabitkan empat kelas. – Awani

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.