Kiriman pada: Mon, Feb 13th, 2017

Semakan Keputusan ICJ Tidak Jejas Hubungan Malaysia-Singapura

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Batu Puteh oleh Malaysia, proses perundangan yang dipersetujui bersama Singapura, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Beliau berkata semakan semula itu adalah kesinambungan daripada persetujuan sebelum ini iaitu kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan pertikaian tuntutan terhadap Batu Puteh yang juga dikenali sebagai Pedra Branca itu, menerusi ICJ.

“Rujukan melalui semakan ICJ adalah proses yang dibenarkan oleh undang-undang tatacara mahkamah itu dan isu pertikaian wilayah ini bukanlah perkara yang asing, ia sering berlaku,” katanya.

Justeru Mohamed Apandi percaya permohonan semakan oleh Malaysia itu tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara. Pada 3 Februari lalu, Mohamed Apandi mengumumkan Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Permohonan semakan semula itu yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada 2 Februari lalu, dibuat susulan penemuan tiga dokumen sokongan di National Archives of the United Kingdom, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai sulit.

Pada 23 Mei, 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan ke atas Batu Puteh, yang terletak 7.7 batu nautika dari pantai Tanjung Penyusuh, Johor.

Mohamed Apandi berkata, semakan semula itu adalah satu komitmen dan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam mendapatkan semula hak ke atas pulau itu kerana ia membabitkan soal kedaulatan negara.

“Saiz pulau tidak menjadi ukuran kerana walaupun satu inci, kita wajib berjuang untuk mendapatkannya semula kerana ini membabitkan kedaulatan kita,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.