Kiriman pada: Wed, Nov 16th, 2016

Semangat Penyatuan BN Jadi Tunggak Kejayaan Parti, Penganalisis Politik

Kongsi maklumat ini
Tags

semangatKuala Lumpur – Kerjasama dan semangat penyatuan menjadi tonggak utama kejayaan Barisan Nasional (BN), yang dianggotai ahli berbilang kaum dan etnik termasuk Sabah dan Sarawak, dalam mengukuhkan jentera parti gabungan pelbagai kaum itu menghadapi pilihan raya, demikian menurut seorang penganalisis politik.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata gabungan kesepaduan dalam BN itu bahkan berjaya membentuk satu manifesto yang mendapat persetujuan bersama di kalangan anggota parti.

“Semangat penyatuan itu tidak ada dalam parti pembangkang kerana masing-masing hanya memperjuangkan agenda peribadi sehingga mengakibatkan mereka sukar bekerjasama sebagai satu pasukan. Walaupun sebelum ini Pakatan Rakyat dilihat sebagai satu alternatif yang agak kuat, namun perbezaan ideologi yang ketara menyebabkan gabungan parti itu tidak mampu bertahan lama.

“Berbeza dengan BN, kepelbagaian parti itu berjaya disatukan atas satu matlamat yang lebih besar demi kepentingan bangsa dan negara. BN juga mampu bertahan sebagai parti yang memerintah disebabkan kesediaan parti komponennya mendahulukan kepentingan parti secara keseluruhan bagi mencapai kesepaduan nasional,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Martadha mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mengakui bukan mudah untuk menumbangkan BN, yang menerajui kerajaan, kerana ia terdiri daripada gabungan 14 parti yang saling menyokong satu sama lain setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).

Menyentuh keupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan Dr Mahathir untuk menentang BN pada PRU akan datang, beliau berkata parti itu belum pernah ‘diuji’, sekali gus sukar untuk menilai sejauh mana kekuatannya meskipun jika bergabung dengan Pakatan Harapan.

“Walaupun PPBM diketuai oleh bekas pemimpin-pemimpin Umno, namun daripada segi akar umbi, ia belum mempunyai sokongan kuat terutama daripada masyarakat luar bandar.

“Selain itu, perjuangan yang dibawa juga terlalu fokus dan bersifat peribadi, mengakibatkan sukar bagi mereka untuk menarik sokongan pengundi luar bandar yang lebih berminat dengan isu komuniti seperti turun naik harga barang dan taraf sosio-ekonomi mereka. Isu besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak begitu relevan dan popular di kalangan masyarakat luar bandar,” katanya.

Masih baharu dalam pentas politik, PPBM sudah menerima tamparan hebat apabila seorang daripada nadi penggerak parti itu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan keluar parti pada akhir Oktober lepas atas alasan mahu memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dihadapinya.

“Khairuddin bersama Tun Mahathir adalah nadi penggerak kepada penubuhan parti itu dan apabila beliau mengumumkan untuk keluar parti sudah tentu ia mencetus polemik bahawa parti itu sedang menghadapi krisis kepimpinan.

“Polemik ini memberi imej negatif kepada PPBM terutama ketika mereka sedang bertungkus lumus mendapatkan sokongan masyarakat. Di samping itu, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada Pakatan Harapan yang mengharapkan PPBM boleh ‘membantu’ menambah bilangan penyokong dan pengundi mereka pada PRU14 nanti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Martadha berkata Umno, parti tunjang BN yang akan mengadakan perhimpunan agung tahunannya pada akhir bulan ini perlu terus memastikan kestabilan parti.

Katanya jika Umno dilanda konflik dan perpecahan, ia akan melemahkan parti dan mengakibatkan Umno tidak mampu menjadi parti yang dominan dalam gagasan BN.

“Sehubungan itu, Umno perlu mencari jalan bagi mengurangkan konflik dan perpecahan sesama sendiri. Umno juga perlu berusaha mentransformasi parti untuk menjadi lebih relevan terutama kepada golongan professional dan muda.

“Umno perlu dilihat relevan dalam konteks masyarakat maju yang berpendidikan tinggi dan matang dalam berpolitik. Budaya lama seperti feudalisme mesti dihakis dan digantikan dengan budaya politik yang lebih terbuka dan rasional seperti yang diamalkan di negara-negara maju,” jelas beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.