Kiriman pada: Sat, Jan 9th, 2016

Seragam Kurikulum Maahad Tahfiz Di Seluruh Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

zahid-1mdbAlor Gajah – Kurikulum maahad tahfiz di seluruh negara perlu diseragamkan untuk menghasilkan huffaz profesional cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penyeragaman kurikulum itu dapat mengelakkan ‘caca marba’ dalam sistem pendidikan maahad tahfiz di negara ini dan mewujudkan satu silibus berkesan untuk maahad tahfiz tersebut.

“Saya selaku TPM (Timbalan Perdana Menteri) amat menggalakkan agar banyak maahad tahfiz ditubuhkan di seluruh negara oleh kerajaan negeri, persekutuan, swasta atau orang persendirian.

“Tetapi saya menyeru kepada pengendali sekolah ini mesti mempunyai satu kurikulum khusus seluruh negara. Ada juga pondok buruk, banglo tinggal jadi maahad, bukan kita tidak mahu banyak huffaz tetapi kita mahu ada juga kualiti, ada nilai akademik dan Quranic,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Huffaz Aqso Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab 2015 di Masjid Tanah.

Pada majlis itu seramai 76 huffaz diberi sijil dan anugerah setelah berjaya menyelesaikan program hafazan al-Quran dalam tempoh tiga bulan.

Beliau menyeru kerajaan negeri dan pihak terlibat agar bersepadu dalam membela kebajikan maahad tahfiz serta pelajarnya, supaya pelajar terbabit tidak ‘dizalimi’ dalam usaha mereka menimba ilmu.

“Di samping mencari pahala, jangan dizalimi dan ketepikan hak anak-anak ini untuk hidup selepas jadi huffaz. Mereka harus ada nilai akademik, nilai ekonomi dan nilai terbaik,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.