Kiriman pada: Wed, Jan 13th, 2016

Serah Barang Peribadi, Sebelum Lemas

Kongsi maklumat ini
Tags

* gambar sekadar hiasan

* gambar sekadar hiasan

Bagan Datoh – Seorang lelaki sempat menyerahkan barang peribadinya kepada seorang kaki pancing sebelum bertindak terjun ke muara Sungai Perak dari Jeti Bagan Datoh di sini, malam tadi.

Mangsa Fairul Nizam Ahmad, 37, dari Kampung Sungai Haji Muhamad Batu 22, Selekoh di sini yang difahamkan mengalami tekanan perasaan turut memberitahu motosikalnya terletak di tepi jeti dan hendak pergi jauh.

Menurut saksi kejadian, Jajuli Yunus, 69, beliau yang sedang memancing di atas Jeti Bagan Datoh secara bersendirian didatangi mangsa kira-kira pukul 8.45 malam.

“Mangsa sempat menyerahkan dompet, kad pengenalan, kunci motor, rokok, pemetik api dan beg galas pinggang sebelum hilang daripada pandangan.

“Dia ada mengatakan sudah tidak tahan tanpa memberitahu sebabnya selepas beri barangnya kepada saya. Saya hanya terpinga-terpinga dan hairan sebelum tidak lama kemudian terdengar bunyi seperti orang terjatuh ke sungai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Jajuli yang bekerja sebagai pembekal ikan air tawar itu berkata beliau hanya mampu melihat mangsa terkapai-kapai meminta tolong selama 15 minit kerana arus deras dan gelap.

“Tidak lama selepas saya jerit meminta tolong, barulah bot nelayan keluar menyuluh. Malah barang peribadi mangsa telah saya serahkan kepada polis,” katanya.

Bapa saudara mangsa Oshaini Ahmad, 51, berkata mangsa yang rapat dengannya telah menghubunginya pada 2.50 petang semalam untuk memberitahu mahu pergi melawatnya di Bangi.

“Waktu itu saya sedang berniaga kedai makan di Putrajaya dan telah minta dia dapatkan kebenaran daripada keluarganya dahulu,” katanya.

Oshaini berkata anak ketiga daripada 11 beradik itu mengalami masalah tekanan perasaan ketika berusia 20 tahun dan sering keluar masuk Hospital Teluk Intan.

Sementara itu, pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Bagan Datoh Mohd Zaidi Ahmad berkata pihaknya bersama agensi penyelamat lain menyambung operasi mencari pada pukul 9 pagi ini.

“Seramai 60 anggota penyelamat bomba, JPAM dan polis serta nelayan tempatan membantu dalam operasi mencari yang ditumpukan sekitar 5 kilometer,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.