Kiriman pada: Thu, Jan 14th, 2016

Serangan di Jakarta menakutkan

Kongsi maklumat ini
Tags

WARGA Malaysia, Lilis Surianty Mior Aziz.KUALA LUMPUR: Beberapa serangan bom dan tembakan di Jakarta, Indonesia pagi tadi menjadi pengalaman paling menakutkan pernah dialami seorang warga Malaysia, Lilis Surianty Mior Aziz, yang ketika itu berada berdekatan lokasi kejadian. Beliau yang sedang membeli-belah ketika itu, terkejut apabila suaminya yang bertugas di Kedutaan Malaysia memintanya meninggalkan kawasan itu serta-merta. “Saya menerima panggilan telefon daripada suami pada kira-kira jam 10.45 pagi waktu Indonesia Barat (jam 11.45 pagi waktu Malaysia) meminta pulang ke rumah serta-merta kerana Gedung Sarinah di Jalan MH Thamrin dibom pengganas. “Sebaik mengetahui hal itu, saya bergegas keluar dan bersama pemandu, kami cuba mencari jalan yang boleh dilalui kerana ketika itu, suasana kelam-kabut dan polis mula menutup jalan. “Ketika kereta melepasi Jalan Thamrin, saya ketakutan kerana melihat mayat di tepi jalan dan keadaan lalu lintas mula sesak. Bunyi siren polis kedengaran dan pada masa sama, saya menerima banyak mesej memaklumkan apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi. Wisma Putra dalam satu kenyataan mengesahkan berdasarkan maklumat setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan menjadi mangsa dalam serangan letupan itu. Bagaimanapun, Kedutaan Malaysia di Jakarta sedang memantau rapi perkembangan semasa, manakala rakyat Malaysia yang kini menetap atau sedang dalam perjalanan ke Jakarta dinasihatkan supaya lebih berjaga-jaga, selain mematuhi semua arahan pihak berkuasa negara itu. Laporan menyebut sekurang-kurangnya enam orang maut, manakala beberapa lagi termasuk anggota polis cedera dalam siri letupan berhampiran Gedung Sarinah di Jalan MH Thamrin pagi tadi. Lilis Surianty berkata, ketika berada di dalam kereta, beliau baru mengetahui lokasi tumpuan pelancong itu diserang pengganas, malah paling menakutkannya apabila mengetahui pengganas terbabit ketika itu masih berkeliaran di kawasan berkenaan. “Saya jadi takut apabila mengetahui pengganas menyasarkan warga asing dan ketika itu, saya menaiki kereta yang menggunakan nombor pendaftaran diplomat. Perasaan bimbang semakin memuncak kerana ketika itu, pengganas masih belum ditangkap, malah dikatakan ada yang melepaskan tembakan secara rambang. “Saya terpaksa mengelak melalui Jalan Semanggi yang mengalami kesesakan teruk kerana ia antara kawasan yang diserang dan keadaan sangat berbahaya ketika itu. Biasanya perjalanan hanya mengambil masa 40 minit untuk sampai ke rumah di Pakubuwono di Jakarta Selatan, tetapi disebabkan kes ini, ia mengambil masa lebih dua jam,” katanya. Beliau berkata, sepanjang perjalanan menuju ke rumahnya, beliau tidak berhenti berdoa semoga sampai dengan selamat. “Saya trauma dengan kejadian ini, malah ini pengalaman paling mengerikan dalam hidup kerana melihat kejadian itu di depan mata,” katanya yang juga isteri kepada Timbalan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.