Kiriman pada: Mon, Jul 13th, 2015

Siasatan PAC Tidak Bertindih Dengan Pasukan Petugas Khas

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK NUR JAZLAN MOHAMEDJohor Bharu – Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan dakwaan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak bertindih dengan siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK), kata Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebaliknya, beliau berkata siasatan oleh PAC lebih kepada urus tadbir 1MDB manakala PPK melihat kepada ‘money trail’ (pergerakan kewangan) akaun syarikat tersebut.

“Kita sebenarnya bekerjasama, malah PAC sentiasa memberi sokongan kepada pasukan petugas khas untuk membantu kerja kita juga.

“Dan jika perlu apabila pasukan petugas khas ini sudah selesai menjalankan siasatan, mungkin mereka dijemput ke PAC untuk memberi penjelasan mengenai kerja mereka,” kata beliau ketika mengulas mengenai sama ada akan berlaku pertindihan siasatan antara dua badan itu.

Nur Jazlan berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat kepada asnaf di PPR Taman Kempas Permai, semalam.

Ditanya mengenai harapannya terhadap PPK, beliau berharap pasukan itu dapat menjalankan siasatan dengan adil tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

PPK itu terdiri daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Nur Jazlan berkata PAC komited menjalankan tanggungjawab dengan memanggil ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas CEO serta pengarah dan bekas pengarah syarikat itu untuk hadir bagi memberi keterangan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.