Kiriman pada: Thu, Feb 2nd, 2017

Sikap Menikus Kit Siang Dalam Isu Kerugian BNM Dipersoal

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Sikap berdiam diri Lim Kit Siang berhubung kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga matawang (Forex) sebanyak AS$10 bilion ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri terus menjadi persoalan.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Kit Siang sebelum ini begitu lantang meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian BNM tetapi kini Ketua Parlimen DAP itu ‘menikus’ selepas semakin mesra dengan Dr Mahahtir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Adakah Kit Siang takut jika beliau meneruskan desakan agar RCI ditubuhkan terhadap isi Forex ini maka agenda peribadi beliau mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tergugat?

“Wanita UMNO mahu tahu adakah Kit Siang akan mendesak RCI ditubuhkan seperti yang diperjuangkan sebelum ini atau berdiam diri demi menjaga agenda politik beliau,” katanya pada sidang media di Pejabat Wanita UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid baru-baru ini mendedahkan BNM pernah mencatatkan kerugian AS$10 bilion (RM44 bilion) melalui kegiatan perdagangan matawang asing sepanjang 1991 hingga 1993 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Kit Siang mula mendesak RCI ditubuhkan bagi menyiasat kerugian dicatat BNM itu selama 20 tahun sejak tahun 1993 tetapi mula berdiam diri apabila menjadi rapat dengan Dr Mahathir yang kini memilih berada dalam blok pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) menganggap pemilihan Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon tepat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu pada 18 Februari ini.

“Puan Sri Jamilah layak bukan hanya kerana beliau isteri kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satim, tetapi faktor sumbangannya kepada Sarawak serta rakyat.

“Maklum balas yang kita terima mendapati beliau amat disenangi rakyat Sarawak.

Dengan faktor ini, mungkin pembangkang akan buat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRK itu selain menghormati sumbangan Adenan kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Wanita BN sudah bersedia mengerahkan jentera kempen untuk menghadapi PRK itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.