Kiriman pada: Wed, Dec 28th, 2016

Sikap Pencarum KWSP Habiskan Simpanan Dalam Tempoh Singkat Membimbangkan

Kongsi maklumat ini
Tags

Bangi – Sikap pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menghabiskan wang simpanan dalam tempoh singkat semakin membimbangkan, kata Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP cawangan Kuala Lumpur, Nornisah Mohd Yusof.

Beliau berkata rata-rata ahli KWSP yang telah mencapai usia persaraan menghabiskan wang simpanan mereka dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun sedangkan purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat iaitu 75 tahun.

“Lebih membimbangkan apabila terdapat kes yang mana pesara mengeluarkan 70 peratus wang simpanan mereka dan tidak sampai 30 hari telah menghabiskan wang tersebut, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku”.

Justeru, Nornisah menasihati orang ramai khususnya bakal pesara supaya bijak dalam mengurus kewangan dan merancang perbelanjaan dengan sebaiknya bagi meneruskan keberlangsungan hidup di hari tua.

“Bagi ahli yang memerlukan penjelasan atau bantuan khidmat nasihat boleh merujuk kepada pegawai RAS yang bertauliah di cawangan KWSP berhampiran.

“Di sini kami akan memberikan nasihat dan pandangan dalam membantu ahli membuat keputusan terbaik sebelum membuat pengeluaran simpanan KWSP,” katanya.

Katanya, RAS juga dapat memberi bimbingan pengurusan simpanan persaraan supaya ahli dapat menjana pendapatan bulanan, bertahan lama, dan berupaya membiayai sara hidup semasa persaraan.

Nornisah menjelaskan pencarum KWSP perlu mempunyai Simpanan Asas iaitu satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 ketika berumur 55 tahun bagi membiayai keperluan asas persaraan.

Jumlah ini diambil selaras dengan pencen minimum untuk sektor awam iaitu RM950 sebulan untuk jangka masa 20 tahun iaitu dari umur 55 tahun kepada 75 tahun bersamaan dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia iaitu 75 tahun.

Beliau berkata setakat tahun lalu, sebanyak 65 peratus daripada ahli KWSP yang berumur 54 tahun ke bawah mempunyai simpanan RM50,000 ke bawah.

Tambah beliau, terdapat empat fasa usia yang sesuai untuk membuat perancangan kewangan bagi memastikan persaraan yang selesa atau mencukupi.

“Fasa pertama di usia 20-an, amat digalakkan membuat simpanan wang pada usia ini dan perlu mempunyai amalan menyimpan yang mana ahli boleh membuat pembahagian wang simpanan kepada beberapa bahagian penting seperti aset, pendidikan anak, dan juga persaraan.

“Peringkat usia 30-an merupakan masa yang sesuai untuk menilai kembali kerja yang dilakukan sama ada setimpal atau tidak, golongan dalam umur ini seharusnya sudah mampu untuk membuat pembayaran pendahuluan bagi pembelian rumah. Waktu ini adalah yang terbaik untuk merancang persaraan sekiranya tidak melakukannya pada umur 20-an,” katanya.

Nornisah berkata pada fasa 40-an, ahli yang sudah berkeluarga seharusnya lebih fokus membuat simpanan pendidikan anak-anak dan lebih serius dalam simpanan persaraan dan perlu menilai semua pengurusan kredit supaya tidak terbeban dengan hutang.

Katanya pada fasa terakhir iaitu di usia 50-an, ahli digalakkan meneruskan simpanan dan tidak boleh mengambil risiko yang terlalu tinggi untuk mengembangkan kekayaan.

Oleh Suhaila Said

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.