Kiriman pada: Thu, Mar 26th, 2015

Simulasi Banjir Bagi Persediaan Bencana Akan Datang

Kongsi maklumat ini
Tags

piePutrajaya – Satu modul simulasi banjir akan disediakan dalam masa terdekat untuk membolehkan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi berperanan lebih besar dan berkesan bagi menghadapi tragedi banjir pada masa akan datang, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada masa sama, katanya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negara akan diperkasa dengan kemahiran pengurusan banjir sebagai kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana tersebut.

“Mengambil hikmah dan pengajaran di sebalik tragedi banjir baru-baru ini, satu koordinasi lebih menyeluruh dan lengkap perlu bagi kita bersiap sedia menghadapi tragedi pada masa hadapan,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalannya Datuk Alexander Nanta Linggi pada majlis apresiasi dan penyampaian bantuan banjir Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Beliau berkata kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada KKLW untuk membina dan membaiki infrastruktur asas luar bandar; projek ameniti sosial; program bantuan rumah; kerosakan bangunan dan peralatan; tanaman dan perladangan serta infrastruktur ladang yang terjejas semasa banjir.

Mohd Shafie berkata kementerian dan agensi di bawahnya turut menyumbang lebih RM6 juta kepada mangsa banjir di seluruh negara yang digerakkan melalui Skuad Prihatin KKLW.

Menurut Mohd Shafie, lebih 200,000 orang terlibat dalam bencana banjir tahun lalu dan sebahagian besar kawasan terjejas terletak di luar bandar sehingga menjejaskan kehidupan penduduk kampung, peneroka lembaga kemajuan tanah, usahawan, belia dan Orang Asli.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.