Kiriman pada: Tue, Jan 10th, 2017

SKMM Sekat 767 Laman Sosial, Sesawang

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Terengganu – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat lebih 700 laman sosial dan sesawang termasuk yang mengiklankan pelbagai produk kecantikan serta ubat palsu tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, siasatan untuk mengenal pasti pemilik akaun dan mengenakan sekatan itu dilakukan selepas Kementerian Kesihatan membuat laporan mengenai penjualan bahan berkenaan melalui laman sesawang termasuk Facebook (FB).

“Kita tidak boleh sewenangnya menyekat pemilik akaun laman sesawang untuk mengiklan dan menjual produk kecantikan serta ubat-ubatan tanpa notifikasi dan kelulusan Kementerian Kesihatan, melainkan selepas menerima laporan.

“Sejak 2015 hingga Oktober lalu, SKMM sudah menyekat 767 laman sesawang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 membabitkan pelbagai kesalahan termasuk mengiklankan unsur perjudian, pelacuran, penipuan, cetak rompak, produk palsu dan ubat tidak berdaftar,” katanya kepada media hari ini.

Jailani yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Cawangan Penguat Kuasa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Kedah, Mokhtar Abdullah yang mendedahkan lebih 30 laman sosial milik syarikat dan individu di negeri itu dikesan menjual produk kecantikan serta ubat-ubatan tanpa notifikasi dan kelulusan Kementerian Kesihatan.

Mokhtar dilaporkan berkata penjualan produk kosmetik perlu mempunyai notifikasi dibenarkan Kementerian Kesihatan, selain kelulusan untuk penjualan ubat-ubatan, sebelum boleh digunakan kerana ia mengundang bahaya terutama dikhuatiri mengandungi bahan terlarang.

“Kebanyakan barang yang dijual melalui iklan disiarkan di laman sosial Facebook (FB), dipercayai diseludup dari negara jiran dengan kuantiti sedikit sebelum dibungkus semula dan dijual kepada pengguna tanpa meletakkan label serta kandungan digunakan untuk penghasilan produk,” katanya.

Beliau berkata SKMM bersedia membantu Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas syarikat atau individu yang mengiklan dan menjual produk kecantikan serta ubat-ubatan tanpa kelulusan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.