Kiriman pada: Sun, Jan 8th, 2017

Sohaimi Nasihat Mukhriz Jangan Takbur

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Mukhriz Mahathir dinasihatkan supaya tidak bersifat takbur dan sombong apabila menulis kenyataan berhubung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu seolah-olah melawan dan melampaui kuasa Allah yang berkuasa menentukan takdir terhadap sesuatu perkara.

Katanya, Mukhriz dan PPBM sepatutnya menginsafi perjuangan serta merenung kembali nasib parti itu yang sedang dilanda krisis dalaman dan kepemimpinan, selepas tidak sampai enam bulan ditubuhkan.

“Sebagai pemimpin parti, beliau sepatutnya bekerja untuk untuk parti dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai serta membuat keputusan dalam pilihan raya nanti, bukan menyerang parti lain dan mencabar kuasa Allah.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, kita tidak sepatutnya bersikap takbur dan sombong dengan berkata ‘nauzubillah minzalik’ kepada mana-mana parti termasuk kepada BN kerana kita belum tahu lagi nasib parti kita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Adalah lebih elok jika beliau (Mukhriz) dan PPBM selesaikan dahulu krisis dan konflik dalaman parti itu yang kelam kabut serta berserabut, berbanding mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan menyerang BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Mukhriz di Instagram, iaitu “rakyat lebih ingin tahu jika nauzubillah minzalik (minta dijauhkan oleh Allah) BN (Barisan Nasional) menang lagi, adakah Najib Razak kekal sebagai PM?”.

Mukhriz mengeluarkan kenyataan berkenaan ketika diminta mengulas pendedahan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim wujud pakatan sulit di antara antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Menerusi pakatan sulit itu, Tunku Abdul Aziz mendakwa Mukhriz akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 manakala Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sohaimi berkata, apa yang diperkatakan Mukhriz itu ibarat mengulangi sejarah dilakukan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang banyak mengkritik BN dan kepemimpinannya selepas menjadi pembangkang.

“Apa yang dapat disaksikan kini, jelas sekali nada kenyataan dikeluarkan pemimpin pembangkang seperti Mukhriz dan pemimpin seangkatan dalam PPBM berbeza ketika mereka berjawatan dan berada dalam kerajaan.

“Hari ini apa yang keluar dari mulut mereka mengenai kerajaan, BN dan UMNO hanya yang buruk dan salah belaka. Dalam hal ini, rakyat harus menolak pemimpin seperti ini,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.