Kiriman pada: Fri, Nov 25th, 2016

Soldadu Merah Jambu Perlu Fahami Persepsi, Fitnah Untuk Kelangsungan UMNO

Kongsi maklumat ini
Tags

soldaduSemua anggota Puteri UMNO perlu memahami setiap persepsi dan fitnah yang dilontar terhadap parti untuk memudahkan gerak kerja bagi memastikan kelangsungan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua UMNO Perak Salbiah Mohamad berkata di zaman serba canggih dan kemunculan pelbagai instrumen media sosial sekarang, tidak dinafikan ia mudah membentuk persepsi kurang baik terhadap parti jika dibiarkan.

Demikian juga dengan fitnah, Salbiah berkata banyak pihak cemburu dengan UMNO sehingga menabur tohmahan menyentuh kepimpinan serta organisasi parti yang mana jika gagal dibendung akan memporak-perandakannya.

“Sekiranya anggota Puteri tidak faham apa yang…dilempar oleh pihak tidak bertanggungjawab, bagaimana mereka nak menerangkan apa yang betul kepada rakyat di akar umbi.

“Selain itu, anggota juga kena fahami perjuangan sebenar parti dan dengan yang demikian mereka berupaya menangkis spekulasi jahat serta kesangsian rakyat,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu depan.

Salbiah menarik perhatian apabila berkata ledakan komunikasi termasuk media sosial ketika ini menuntut kepimpinan parti atau semua yang berkenaan menjawab sebarang isu dengan pantas.

“Isu yang dibangkitkan jangan lambat dijawab atau dibiarkan tanpa jawapan kerana dibimbangi ia merasuk pemikiran masyarakat yang akan memberi kesan kepada parti,” katanya yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temenggor di Gerik.

Ditanya mengenai kemunculan parti-parti baharu, Salbiah berkata ia tidak memberi kesan kepada soldadu merah jambu, malah pergerakan itu khususnya di Perak terus mencatat pertambahan anggota.

Beliau berkata hasil gerak kerja di semua 24 bahagian, Puteri UMNO Perak berjaya mendaftarkan sekurang-kurangnya 300 anggota baharu setiap bulan dan jumlah keanggotaan seluruh negeri kira-kira 30,000 orang.

“Setakat ini tiada anggota Puteri UMNO Perak yang keluar parti dan gerak kerja juga dijalankan setiap bulan, kami temui wanita muda yakinkan mereka hanya UMNO yang mampu perjuangkan nasib mereka,” jelas Salbiah.

Mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang akan berlangsung minggu depan, Salbiah berkata seramai 120 perwakilan Puteri UMNO Perak dari 24 bahagian akan menyertainya.

Beliau berkata untuk perhimpunan kali ini, seorang perwakilan dari Perak Nur Farah Diba Mohammad Sadri yang merupakan Ketua Puteri UMNO Lenggong akan membahaskan usul politik.

“Perak akan menekankan tentang solidariti parti dan walaupun ia usul politik kami tetap utarakan beberapa masalah berkaitan seperti kos sara hidup kerana ia berkait rapat.

“Perhimpunan ini merupakan platform untuk melontarkan pandangan dan sudah tentu menyampaikan suara pengundi di akar umnbi yang perlu didengari untuk persediaan menghadapi PRU14,” katanya.

Ditanya persediaan untuk PRU14, Salbiah berkata peremajaan parti dalam konteks yang sebenar perlu dilakukan selari dengan perkembangan semasa.

“Peremajaan bukan bermaksud parti diserahkan kepada orang muda, tetapi segala gerak kerja perlu ‘up to date’ (terkini) lebih-lebih lagi kalau mahu memenangi hati orang muda yang merupakan pengundi teramai,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung pada 29 Nov hingga 3 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan dihadiri 5,732 anggota perwakilan.

Oleh Salawaty Supardi

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.