Kiriman pada: Mon, Feb 13th, 2017

SPRM Tahan Bekas YDP Majlis Perbandaran, Kontraktor

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Seorang bekas yang dipertua majlis perbandaran bergelar Datuk di Negeri Sembilan antara enam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung kes salah guna kuasa yang dipercayai berlaku antara September 2009 hingga Ogos tahun lalu.

Lima lagi yang ditahan ialah kontraktor yang dipercayai berurusan dengan bekas pegawai awam itu. Semua suspek dijangka dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Bekas pegawai awam berusia 63 tahun itu ditahan jam 11.30 pagi di rumahnya di Seremban oleh sepasukan pegawai SPRM.

Difahamkan, siasatan SPRM membabitkan tempoh ketika bekas pegawai berkenaan menjawat jawatan pegawai daerah dan yang dipertua majlis perbandaran.

“Menurut maklumat awal, suspek dipercayai pernah bercuti bersama kontraktor terbabit di luar negara pada bulan September 2015.

“Malah, suspek dikatakan memperoleh pakej percutian merangkumi tajaan bermain golf di Medan, Indonesia oleh kontraktor itu selain menerima sebuah kereta jenis Toyota Camry untuk kegunaan sendiri,” kata sumber.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pembelian kenderaan itu tidak dibentangkan dalam mesyuarat bajet dan perolehan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata SPRM juga sedang mengenalpasti beberapa individu lagi untuk membantu siasatan kes itu.

“Setakat ini SPRM merampas pelbagai dokumen daripada semua suspek yang dipercayai berkaitan dengan siasatan SPRM.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.