Kiriman pada: Sun, Jan 29th, 2017

Syarikat Dari China Hanya Mahu Melabur, Bukan Menjajah

Kongsi maklumat ini
Tags

Bagan Datuk – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan tuduhan bahawa China akan menjajah negara ini menerusi pelaburan oleh syarikat-syarikat dari negara itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, syarikat dari negara tersebut hanya mahu menjalankan perniagaan dengan Malaysia menerusi pelaburan langsung asing (FDI).

“Ada tuduhan seolah-olah negara China akan menjajah negara kita, membeli maruah orang Malaysia namun tiada ruang untuk itu kerana FDI mereka di Malaysia hanya 3.3 peratus,” katanya ketika berucap dalam majlis makan malam sempena Tahun Baharu Cina di Pusat Komersial Simpang Empat, Hutan Melintang di sini, malam ini.

Menurut Ahmad Zahid, syarikat-syarikat dari China juga telah bersetuju untuk melabur di Bagan Datuk yang baru sahaja diisytiharkan sebagai daerah baharu di negeri ini. Jelasnya, komitmen China itu disuarakan semasa kunjungannya ke negara tersebut pada tiga minggu lalu selain perbincangan mengenai soal keselamatan dengan pihak berkuasa di sana.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, dalam pertemuan tersebut, syarikat-syarikat pelaburan dari China sememangnya mengetahui kehadirannya yang mewakili daerah baharu Bagan Datuk.

“Dalam pertemuan itu, syarikat pelaburan dari China telah setuju dan berjanji untuk meletakkan pelaburan yang besar di Bagan Datuk tetapi tidak perlu saya umumkan secara terperinci di sini.

“Untuk itu, saya mahu masyarakat di sini memberikan kerjasama supaya dalam tempoh tiga tahun dari sekarang, Bagan Datuk akan membangun dan dalam tempoh 10 tahun lagi daerah ini sama taraf dengan daerah-daerah yang termaju di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid mahu semua pihak tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama-sama memastikan negara terus aman dengan memastikan tidak berlaku kekacauan dan peningkatan aktiviti jenayah. Katanya, tiada makna sesebuah negara mencapai kemajuan tetapi tidak berada dalam suasana aman.

“Keamanan yang kita nikmati sekarang harus dipertahankan. Kalau negara aman, rakyat senang cari makan, anak-anak senang belajar dan rakyat bebas bergerak walaupun kita pelbagai kaum,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.