Kiriman pada: Thu, Jul 9th, 2015

Syarikat Pos Dan Kurier Sasar 1 Bilion Bungkusan Menjelang 2025

Kongsi maklumat ini
Tags

easyparcelCyberjaya – Sektor pos dan kurier negara disasarkan mengendalikan 1.0 bilion bungkusan setahun menjelang 2025, dipacu perkembangan pesat perniagaan dalam talian, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Pegawai Kandungan, Keselamatan dan Inovasi SKMM Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata kewujudan pelbagai syarikat atau perniagaan yang menawarkan penjualan barangan secara dalam talian kini membuka ruang untuk mencapai sasaran 1.0 bilion bungkusan itu.

“Walaupun tempahan dibuat secara dalam talian, namun penghantaran tetap dilakukan secara fizikal menggunakan perkhidmatan pos atau kurier,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi Townhall Industri Pos dan Kurier 2015 di Menara SKMM di sini Khamis.

Mohd Ali Hanafiah berkata pada masa ini syarikat pos dan kurier dalam negara mengendalikan 150 juta bungkusan setahun dengan nilai keuntungan sebanyak RM3 bilion.

Jika sasaran mengendalikan 1.0 bilion bungkusan setahun menjelang 2025 tercapai, maka nilai keuntungan yang bakal diraih oleh syarikat dianggar mencecah RM10 bilion, katanya

Beliau berkata sasaran tersebut merupakan sebahagian daripada hala tuju SKMM untuk memacu pertumbuhan sektor pos dan kurier, selain memberi pulangan ekonomi yang menguntungkan negara.

SKMM ialah badan yang mengawal selia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital.

Pada masa sama Mohd Ali Hanafiah menggesa lebih banyak syarikat pos dan kurier supaya berdaftar sebagai anggota Persatuan Syarikat-syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) bagi meningkatkan taraf industri tersebut dalam negara.

Sementara itu, Presiden AMEC Rozilawati Basir berkata kini terdapat 30 syarikat berdaftar sebagai anggota persatuan, yang menawarkan banyak manfaat.

“Antara manfaat yang boleh diperoleh, termasuklah terlibat dalam banyak program SKMM serta agensi dan jabatan kerajaan selain dapat meningkatkan standard penghantaran bungkusan di Malaysia,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.