Kiriman pada: Wed, Dec 23rd, 2015

Syarikat TELCO Dikompaun RM2.29 juta Kerana Kad Sim Prabayar Palsu

Kongsi maklumat ini
Tags

ghfnKuala Lumpur – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan sebanyak 50 kompaun bernilai RM2.29 juta kepada syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) atas kesalahan pendaftaran palsu kad sim prabayar bagi tempoh antara Januari hingga Disember tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi suruhanjaya itu, Zulkarnain Mohd Yasin , jumlah kompaun yang dikeluarkan meningkat sebanyak 89 peratus berbanding jumlah kompaun yang dikeluarkan pada tahun lepas.

Pada Mac dan September lepas, MCMC mengeluarkan sebanyak 25 kompaun berjumlah RM1.11 juta, manakala pada awal bulan ini, sebanyak 25 kompaun lagi berjumlah RM1.18 juta telah dikeluarkan.

Zulkarnain berkata pengenalan pendaftaran talian prabayar sejak tahun 2006 adalah bagi tujuan keselamatan dan perlindungan pengguna, namun MCMC mendapati siasatan terhadap kes jenayah sering menemui jalan buntu apabila talian yang dikenal pasti digunakan oleh penjenayah adalah talian pendaftaran palsu.

Sehubungan itu, beliau mahu semua syarikat telco lebih bertegas terhadap ejen-ejen mereka dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan ketika menjalankan operasi serta tidak mengabaikan aspek keselamatan negara dan kepentingan pengguna.

Pada bulan ini, MCMC mengeluarkan tujuh saman bernilai RM350,000 kepada syarikat Tune Talk Sdn Bhd, enam saman bernilai RM300,000 kepada Digi Telecommunications, Celcom Mobile Sdn Bhd (tiga saman bernilai RM130,000), Celcom Axiata Berhad, Maxis Mobile Service Sdn Bhd dan XOX Com Sdn Bhd masing-masing dua saman bernilai RM100,0000.

Selain itu, saman turut dikeluarkan ke atas Merchantrade Asia Sdn Bhd (satu saman bernilai RM50,000), Ceres Telekom Sdn Bhd (satu saman bernilai RM30,000) dan Altel Communication (satu saman bernilai RM20,000).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.