Kiriman pada: Mon, Jan 23rd, 2017

Syarikat Telekomunikasi Bina Menara Haram Di Perak

Kongsi maklumat ini
Tags

Ipoh – Kerajaan Perak mengenal pasti kira-kira 2,800 menara telekomunikasi haram dibina di seluruh negeri itu mengakibatkan kerugian hasil sekurang-kurangnya RM20 juta setahun.

Berikutan itu, kerajaan negeri kini sedang merangka satu garis panduan khas berkaitan penguatkuasaan serta pembangunan infra telekomunikasi yang akan diguna pakai tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata apabila garis panduan itu diguna pakai nanti, pihaknya tidak teragak-agak untuk meruntuhkan menara telekomunikasi itu jika syarikat berkaitan terus berdegil enggan mendaftarkannya.

“Ada syarikat telekomunikasi yang enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri walaupun mencatatkan keuntungan lebih RM2 bilion setahun dan sudah beberapa kali kita mengadakan perundingan dengan mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Pembangunan Infrastruktur Perkhidmatan Telco Negeri Perak, di sini, pagi ini.

Zambry berkata, syarikat telekomunikasi berunding terus dengan pemilik tanah dan membina kemudahan itu tanpa mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) atas alasan tidak mahu mengeluarkan wang untuk permit dan kadar lain.

Katanya, pendaftaran menara telekomunikasi penting bukan sahaja untuk hasil negeri, tetapi juga memastikan struktur itu selamat dan tidak menganggu penduduk setempat.

Beliau berkata, ketika ini, hanya kira-kira 1,400 menara telekomunikasi yang berdaftar di negeri itu dengan bayaran kira-kira RM2,000 bagi setiap permit.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.