Kiriman pada: Tue, Jul 7th, 2015

Tabung Haji diiktiraf terbaik dalam pengurusan jemaah

Kongsi maklumat ini
Tags

TINJAUAN DI TABUNG HAJI KUALA LUMPURJEMAAH haji Malaysia adalah model kepada tetamu Allah dari seluruh dunia pada setiap musim haji. Ini pengiktirafan oleh Muassasah Adilla dan Muassasah Asia Tenggara, dua badan yang dipertanggungjawab mengendalikan urusan haji, masing-masing di Madinah dan Makkah. Ia berdasarkan kepada disiplin dan pemahaman jemaah haji negara mengenai urusan haji sehingga membolehkan mereka menunaikan ibadah itu dengan fokus dan sempurna. Pengiktirafan itu diperkukuhkan lagi dengan pengakuan oleh Datuk Bandar Makkah, Dr Osama Fadl Albaar.

“Jemaah dari Malaysia adalah contoh terbaik kerana mereka diajar secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya dalam pertemuan dengan media Malaysia yang mengikuti program tinjauan persiapan musim haji 1436 oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di pejabatnya di Makkah, baru-baru ini. Tunai haji dengan sempurna Pengakuan oleh tiga pihak itu menunjukkan jemaah haji Malaysia sangat beruntung kerana disediakan kemudahan sewajarnya sebelum berangkat ke Makkah dan ketika berada di Tanah Suci, sekali gus boleh mengerjakan haji dengan sempurna. Kemampuan jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima dengan sempurna adalah inisiatif TH yang sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dari segi kemudahan dan kebajikan kepada mereka. Malah, TH dipilih menduduki tangga pertama dari segi pengurusan jemaah haji oleh Muassasah Adilla, iaitu institusi di bawah Kementerian Haji Arab Saudi. Pemilihan itu berdasarkan beberapa aspek seperti disiplin, pematuhan peraturan dan pemahaman jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci. Hakikatnya, apa yang dinikmati oleh jemaah haji bukannya datang bergolek. Sebaliknya, atas inisiatif serta amanah yang dipertanggungjawab kepada TH. Persiapan TH untuk menguruskan operasi haji pada setiap musim merangkumi tiga aspek iaitu bakal haji, petugas haji dan infrastruktur serta logistik di Makkah dan Madinah. Ia bermula sebaik berakhirnya musim haji terdahulu. Contohnya, persiapan operasi haji tahun ini bermula sebaik musim haji tahun lalu berakhir, dengan membuat penilaian semula terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji. Dari segi bakal haji, urusan bermula dengan penghantaran surat tawaran pada Disember lalu, dan diikuti kursus haji sebanyak 17 siri mulai Januari hingga April lalu. Ini diikuti kursus intensif, pemeriksaan kesihatan dan terakhir kursus perdana yang dijadualkan pada akhir bulan ini dan awal bulan depan. Kursus kepada 600 petugas haji Bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah yang terbaik, TH memberi kursus kepada kira-kira 600 petugas haji sejak awal tahun hingga Mei lalu. Ia membabitkan 250 petugas perubatan dan 350 petugas kebajikan. Dari aspek kemudahan dan logistik, TH akan menggunakan perkhidmatan sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) dan Saudi Arabian Airlines untuk mengangkut seramai 22,320 bakal haji ke Tanah Suci, bermula 16 Ogos hingga 16 September depan. Mereka dijadual berlepas pulang ke tanah air bermula 29 September hingga 28 Oktober. TH juga membuat perjanjian penyewaan 12 hotel – sembilan di Makkah dan tiga di Madinah untuk menempatkan jemaah haji. Jarak hotel dari Masjidil Haram tidak lebih daripada 1,000 meter, manakala di Madinah pula tidak lebih 150 meter dari Masjid Nabawi, sekali gus memberi keselesaan kepada jemaah haji. “Bagaimanapun, TH tidak dapat memberi jaminan jarak hotel penginapan jemaah haji kita dengan kedua-dua masjid ini dapat dipertahankan pada masa depan berikutan banyak perubahan yang sedang berlaku di Makkah dan Madinah,” kata Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah. Perkhidmatan kafeteria dan kaunter kewangan juga disediakan di setiap hotel penginapan bagi memudahkan jemaah haji mengeluarkan wang masing-masing untuk berbelanja. Turut disediakan kemudahan penghantaran barang ke tanah air, selain dobi dan telekomunikasi. Jemaah haji yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan perubatan boleh mendapatkan perkhidmatan di Pusat Rawatan Aziziah dan Pusat Rawatan Syisya di Makkah serta klinik di Ibu Pejabat TH di Makkah serta Pusat Rawatan Madinah yang beroperasi Ibu Pejabat TH Madinah. TH juga mempunyai 20 ambulans termasuk tujuh ambulans baharu bagi membawa jemaah haji yang memerlukan rawatan di pusat rawatan. Bagi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan terbaik, tetapi pada masa sama tidak mahu membebankan jemaah haji, TH terpaksa menanggung subsidi yang besar setiap tahun. Tahun ini sahaja, TH menanggung subsidi haji sebanyak RM150 juta, berbanding RM120 juta pada tahun 2014. Kos penginapan meningkat Subsidi yang besar itu kerana jemaah haji hanya dikenakan bayaran RM9,980 seorang berbanding kos sebenar RM17,270. Ini bermakna, TH memberi subsidi RM7,290 setiap jemaah haji. Komponen utama kos haji ialah penginapan di Tanah Suci yang meningkatkan saban tahun berikutan pembangunan sekitar Masjidilharam dan Masjid Nabawi. “Setiap tahun, TH berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji walaupun terpaksa menanggung bebanan kewangan yang besar. Ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat,” kata Johan. Namun, sampai bila TH perlu menanggung subsidi yang tinggi bagi setiap jemaah haji? Dengan bayaran menunaikan haji tidak dinaikkan sejak tahun 2006, TH perlu mencari mekanisme serta peluang pelaburan baharu untuk menambah pendapatan bagi menampung subsidi haji yang semakin meningkat. Pada masa sama, jemaah haji sewajarnya bersyukur dengan kemudahan dan kebajikan yang disediakan TH untuk memastikan keselesaan mereka beribadah di Tanah Suci dan sebarang kekurangan serta kesulitan, anggaplah ia sebagai dugaan daripada Allah untuk menguji kesabaran.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.