Kiriman pada: Tue, Jul 28th, 2015

Tahap Kesuburan Wanita Malaysia Menurun

Kongsi maklumat ini
Tags

zdfhgdzfKuala Lumpur – Tahap kesuburan di kalangan wanita Malaysia menunjukkan penurunan mendadak sejak kebelakangan ini daripada 3 anak bagi setiap wanita pada 2000 kepada 1.9 anak pada 2012.

Ini berikutan wanita masa kini lebih memberi tumpuan kepada peningkatan kerjaya mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menegaskan ia adalah isu penting yang mendapat perhatian kementeriannya kerana faktor ini mampu menyekat pertumbuhan penduduk andai tiada langkah diambil untuk menanganinya.

“Pemikiran wanita sekarang adalah berbeza berbanding wanita sebelum ini. Mereka kini lebih menitikberat kerjaya, sekali gus mengakibatkan mereka mengabaikan keperluan mendapatkan anak,” katanya selepas merasmikan Persidangan Persatuan Populasi Asia ke-3 (APA), di sini.

Menurutnya satu lagi punca penurunan kesuburan di kalangan wanita Malaysia adalah mereka lebih memilih bersendirian daripada berkahwin kerana menganggapnya satu halangan untuk meningkatkan kerjaya.

Berikutan itu, Rohani berkata kementeriannya sedang berusaha keras untuk meningkatkan tahap kesedaran yang masih dianggap rendah ketika ini.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk memberi kesedaran di kalangan wanita dengan menganjurkan pelbagai bengkel dan ceramah untuk mendidik wanita akan keperluan meningkatkan tahap kesuburan di negara ini,” katanya.

Mengenai Persidangan APA, Rohani berkata Malaysia mencapai banyak sasaran yang ditetapkan untuk tempoh 20 tahun dalam Program Tindakan Persidangan Antarabangsa Mengenai Penduduk dan Pembangunan (ICPD-PoA) yang berakhir tahun lalu dan Pembangunan Milenium (MDGs), yang dibuat pada tahun 2000.

“Saya berbesar hari untuk menyatakan kementerian saya sudah mencapai sasaran ICPD-Poa dan MDGs terutama dalam mengurangkan kemiskinan, persamaan gender, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif remaja,” katanya.

Persidangan empat hari itu disertai 600 peserta dari 40 negara Asia yang melibatkan pembuat dasar dan pakar kesihatan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.