Kiriman pada: Thu, Jan 26th, 2017

Tahun Baharu Cina Masa Sesuai Kukuh Hubungan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Tahun Baharu Cina adalah masa untuk rakyat Malaysia, yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengukuhkan hubungan di antara mereka.

Perdana menteri berkata keunikan rakyat Malaysia adalah kerana mereka dapat bersama menyambut perayaan tahun baharu dan banyak lagi perayaan yang lain selain dapat hidup secara harmoni dengan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Semasa perayaan inilah, ia merupakan satu peluang bagi kita semua, bukan sahaja kaum Cina, untuk mengukuhkan hubungan kita sebagai rakyat Malaysia,” kata Najib dalam mesejnya sempena Tahun Baharu Cina 2017.

Beliau menganggap masyarakat Cina mahukan sebuah negara yang lebih baik dan makmur bagi rakyat Malaysia.

“Kita boleh mencapai matlamat ini jika kita kuat dan bersatu sebagai sebuah negara, memfokuskan usaha dan tenaga kita untuk kesejahteraan negara sementara kita terus menangani perbezaan dan cabaran kita,” kata Najib.

“Dengan bersama-sama, kita pasti boleh mencapai tahap yang lebih tinggi untuk menjadi sebuah negara Malaysia yang lebih berjaya, maju dan harmoni,” kata Najib sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat berkenaan.

Najib berkata beliau sentiasa mengagumi tradisi masyarakat Cina untuk ‘Makan Besar’ bersama keluarga, satu adat yang dicemburui sejak berabad-abad lamanya, sejak zaman China purbakala.

Beliau berkata rakyat Malaysia berketurunan Cina terus mengekalkan kepentingan tradisi itu dalam usaha memberi perhatian terhadap usaha mengukuhkan hubungan keluarga.

“Majlis Makan Besar itu bukan sahaja mengenai hidangan makanan yang lazat tetapi lebih daripada itu, ia juga merupakan masa memberi penghormatan kepada anggota keluarga yang lebih tua daripada mereka dan memperbaharui hubungan mereka,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.