Kiriman pada: Sun, Jan 24th, 2016

Tangani kemelut politik Kedah secara matang

Kongsi maklumat ini
Tags

MAJLIS PELANCARAN PROJEK JIWA MURNI PEMBESARAN PARIT GAJAHKLUANG: Kemelut politik di Kedah perlu ditangani dengan bijak dan matang bagi membolehkan sokongan dan kelangsungan UMNO di negeri itu serta keseluruhannya tidak terjejas. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata krisis kepimpinan itu bukan satu perkara baharu yang berlaku dalam parti di peringkat negeri. Beliau yang juga Menteri Pertahanan, berkata pengalaman parti boleh digunakan dalam menangani krisis itu dan seterusnya membawa semula keyakinan rakyat terhadap UMNO. “Biarlah ia (krisis politik Kedah) selesai dengan semangat kekeluargaan dan keadaan bijaksana. Yang penting kita mahu melihat ke hadapan dan mendapat sokongan orang ramai kepada kepimpinan parti. “Apa juga kemelut boleh menjejaskan kita (UMNO), tetapi kita bukan akan berdepan pilihan raya esok. Jika ditangani dengan baik, saya percaya kesan kepada parti tidak membawa satu keadaan yang teruk,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Projek Jiwa Murni (PJM) Parlimen Sembrong di FELDA Kahang Timur di sini, hari ini. Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. Hishammuddin berkata, apa yang dibangkitkan kepimpinan di peringkat UMNO bahagian mungkin berkaitan isu di Kedah sahaja, namun jika tidak ditangani dengan baik ia boleh menular kepada persepsi dan keyakinan rakyat terhadap parti secara keseluruhannya. “Isu ini juga sudah dipanjangkan kepada Presiden parti semalam. Jadi, saya harap ia dapat ditangani dengan matang, rasional dan bijaksana bersandarkan kepada perkara yang ada kaitan rapat dengan hala tuju UMNO dan pentadbiran Kedah. “Hendak bercakap lebih daripada itu, bukan tempat saya kerana yang bawa perkara ini ke hadapan adalah kepimpinan parti di peringkat bahagian di Kedah sendiri,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.