Kiriman pada: Sun, Jan 22nd, 2017

Tangkis Dakyah Antipemerintah

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu tiga sayap UMNO lebih agresif dan tersusun untuk menangkis serangan pemikiran serta persepsi pihak antipemerintah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian ahli akademik mendapati, wujud persepsi negatif dalam kalangan segelintir masyarakat terhadap UMNO, Barisan Nasional (BN) dan pemimpin kerajaan.

Antara lain, katanya, ia didorong dengan kecenderungan media dalam talian antipemerintah mempengaruhi pemikiran dan persepsi golongan sasar untuk memandang negatif terhadap UMNO dan kerajaan.

“Saya minta ahli parti termasuk dalam ketiga-tiga sayap untuk berubah dan melangkah ke hadapan bagi menguasai strategi komunikasi baharu serta konvensional ke arah menjadikan persepsi rakyat memihak kepada UMNO dan BN.

“Jika tidak ditangani dengan berkesan, peperangan persepsi dan pemikiran dalam media baharu boleh menyebabkan kita tidak mendapat majoriti dua pertiga seperti dalam PRU-12 dan PRU-13.

“Kita mesti ubah kaedah dan perantara. Dalam keadaan ini, kita harus keluar dari gelanggang dan pemikiran lama.

“Persepsi dan daya pemikiran perlu diubah. Persepsi negatif terhadap UMNO, BN dan kerajaan juga harus diubah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Skuad Penerangan dan Media Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO merangkap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari.

Ahmad Zahid berkata, bagi menangani cabaran itu, aktivis komunikasi dan media sosial UMNO termasuk ‘tentera siber’ boleh mencontohi pasukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Bharatiya Janata Party (BJP) di India yang memanfaatkan media sosial untuk mempengaruhi pemikiran serta persepsi masyarakat.

“Tanpa kekuatan media sosial, Trump dan BJP tidak mungkin menang. Kita contohi cara mereka tetapi gunakan acuan kita untuk mempengaruhi pemikiran dan persepsi masyarakat khasnya pengundi untuk kembali menyokong UMNO dan BN,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.