Kiriman pada: Mon, Dec 12th, 2016

Tangkis ‘Peluru Berpandu Politik’ Menjelang PRU14

Kongsi maklumat ini
Tags

Kajang – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta tangkas menangkis ‘peluru berpandu politik’ yang dilancarkan pembangkang khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semakin banyak fitnah dilemparkan bagaikan ‘peluru berpandu’ yang ditembak dari dekat dan jauh terhadap kerajaan dan BN serta individu dalam kepimpinan BN.

“Dalam keadaan demikian, kepimpinan dalam parti komponen BN, parti-parti yang bersahabat dengan BN serta badan bukan kerajaan (NGO) haruslah menghadapi semua fitnah itu dan bukannya hanya berdiam diri,” katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) Ke-24 di sini, hari Ahad.

Katanya keakraban dalam kalangan kepimpinan dan parti-parti komponen BN mampu menangkis tembakan peluru politik.

Sebagai contoh, katanya, tohmahan kononnya kerajaan membawa masuk 700,000 pekerja asing ke negara untuk diberi taraf kewarganegaraan, adalah tidak benar.

“Sehubungan itu, kita perlu tolak apa yang dibalingkan mereka. Keakraban yang terjalin antara pemimpin adalah asas untuk menongkah tohmahan yang datang kepada kita.

“Saya yakin masyarakat tidak mudah percaya tohmahan yang dilemparkan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyeru semua pemimpin parti politik dan NGO yang mewakili masyarakat India supaya tampil berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dirinya bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata walaupun pelbagai usaha telah dilakukan namun, banyak lagi yang perlu dilakukan termasuk tentang pendidikan dan sosioekonomi demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini.

“Perdana menteri ikhlas membantu masyarakat India mengatasi semua masalah ini. Saya juga komited untuk membantu beliau (berbuat demikian),” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid meminta IPF supaya terus membantu BN mendapatkan sokongan masyarakat India dalam usaha membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.