Kiriman pada: Tue, Jan 19th, 2016

Tarikh meterai TPPA belum muktamad

Kongsi maklumat ini
Tags

KL05_190116_HARI EKSPORTKUALA LUMPUR: Tarikh memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) belum lagi ditetapkan, walaupun terdapat laporan mengatakan Malaysia akan menandatangani perjanjian itu pada 4 Februari ini. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, mengesahkan TPPA membabitkan 12 negara anggota akan dimeterai pada bulan depan di New Zealand. “Setakat ini, lokasi dan bulan untuk TPPA ditandatangani sudah ditetapkan, namun tarikh tetapnya masih belum dimuktamadkan,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Eksport 2016 anjuran Perbadanan Pembangunan Pelaburan Luar Malaysia (MATRADE) di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media mengatakan tarikh perjanjian itu dimeterai ditetapkan pada 4 Februari ini. Mengulas mengenai lokasi TPPA ditandatangani, Mustapa berkata, pemilihan New Zealand adalah disebabkan negara berkenaan antara terawal mengesahkan penyertaan dalam perjanjian itu. “Ia sebagai penghargaan kita kepada New Zealand yang menjadi antara negara pelopor kepada tercetusnya TPPA,” katanya. Negara TPPA menyumbang hampir 40 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK) dunia dan merangkumi satu pertiga perdagangan global. TPPA dijangka dibentangkan di Parlimen bermula 26 Januari ini bagi mendapat kelulusan penyertaan Malaysia dalam perjanjian itu. Dalam masa sama, Parlimen akan turut memutuskan kelulusan pindaan 26 undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan TPPA. Mustapa berkata, TPPA dijangka membantu syarikat Malaysia mendapat akses pasaran kepada 800 juta penduduk di negara anggota. “Namun, TPPA menjangkaui hanya akses pasaran. Dengan 595 bab dan 5,755 muka surat, ia menempatkan penekanan jitu terhadap ketelusan, standard tinggi, hak asasi manusia, undang-undang buruh dan alam sekitar. Pelaksanaan perjanjian ini akan mewujudkan ekosistem lengkap untuk pertumbuhan sihat ekonomi negara,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.