Kiriman pada: Sun, Jan 29th, 2017

Tekong, Kru Bot Hilang Ditemui Selamat

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Kinabalu – Tekong dan seorang kru bot membawa pelancong China yang hilang ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum di perairan Kota Kinabalu semalam, ditemui selamat sebentar tadi.

Difahamkan, kedua-dua mangsa ditemui antara perairan Pulau Tiga dan Pulau Samarang di sini, jam 2 petang tadi.

Bagaimanapun, nasib 28 pelancong dan seorang lagi kru bot berkenaan belum diketahui.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Kapten Maritim Rahim Ramli, ketika dihubungi berkata, dua mangsa itu ditemui oleh bot lain milik syarikat pelancongan yang menguruskan bot dinaiki mangsa.

“Maklumat tidak rasmi daripada agensi pelancongan terbabit memaklumkan tekong dan seorang kru bot ditemui selamat.

“Saya belum boleh memberi pengesahan kerana belum menemui sendiri mangsa yang ditemui selamat,” katanya.

Bot berkenaan dilaporkan bertolak dari jeti Tanjung Aru di sini, untuk ke Pulau Mengalum, kira-kira sejam setengah perjalanan dari sini pada jam 9 pagi semalam, namun tidak tiba semula ke jeti sama sehingga malam tadi.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat oleh pemilik bot pada jam 9.50 malam tadi sebelum operasi SAR diaktifkan jam 10.15 malam.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.