Kiriman pada: Tue, Mar 31st, 2015

TEKUN Timbang Guna Khidmat Agensi Pengutip Hutang

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI ISMAILSABRI YAAKOBPutrajaya – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kemungkinan menggunakan khidmat agensi pengutip hutang bagi mendapatkan balik pinjaman yang belum dijelaskan oleh peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN).

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kaedah itu adalah jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah hutang tidak berbayar berjumlah lebih RM500 juta atau 22 peratus jumlah yang dikeluarkan.

“Kita akan mula dengan tindakan guaman tetapi jika cara ini gagal, khidmat agensi pengutip hutang akan kita gunakan,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama 328 warga kerja TEKUN seluruh negara dan pegawai kementerian, di Putrajaya.

Menteri itu berkata kaedah mengutip hutang oleh pegawai TEKUN selama ini masih dilihat sebagai sistem yang terbaik kerana berjaya mengutip 78 peratus daripada jumlah pinjaman dikeluarkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mahu TEKUN bebas daripada kerenah birokrasi berikutan aduan permohonan lambat diluluskan yang kerap diterimanya kerana kelewatan sedemikian melemahkan semangat pemohon untuk memulakan perniagaan.

“Kadang-kadang kedai sudah sewa, tetapi modal lambat dapat dan ini menyebabkan peniaga rugi sebelum memulakan perniagaan…penantian itu satu penyeksaan.

“Jadi, jangan biarkan permohonan tanpa jawapan walaupun permohonan itu tidak diluluskan, jawapan perlu diberi,” katanya.

Ismail Sabri mahu warga TEKUN terus amanah melaksanakan tanggungjawab bagi meningkatkan keyakinan masyarakat susulan kes rasuah melibatkan organisasi itu baru-baru ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.