Kiriman pada: Sat, Oct 8th, 2016

Tengku Amir Shah Dimasyhur Sebagai Raja Muda Selangor

Kongsi maklumat ini
Tags

tengkuamir2Klang – Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dalam majlis penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Dalam istiadat pemasyhuran gelaran dan mengangkat sumpah serta menjunjung duli itu, pengisytiharan pemasyhuran dilakukan oleh Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah, selaku Ketua Adat Istiadat Diraja Selangor, di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

“Sultan Selangor telah berkenan supaya istiadat diadakan pada hari ini di Istana Alam Shah, Klang. Adat istiadat ini adalah warisan turun temurun yang diamalkan Almarhum-almarhum Sultan-sultan sejak pemerintahan beraja di negeri Selangor,” isytihar Tengku Sulaiman Shah.

Dalam istiadat itu, Tengku Amir Shah mengangkat sumpah dengan melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Selangor.

Baginda kemudiannya menandatangani watikah Lafaz Angkat Sumpah Gelaran yang disaksikan oleh Tengku Sulaiman Shah, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor kepada anakandanya Tengku Amir Shah sejurus istiadat mengangkat sumpah dan menjunjung duli.

Tengku Amir Shah kemudian berangkat meninggalkan Balairung Seri untuk keluar dari Selangor selama tujuh hari, seperti amalan yang ditetapkan sebelum kembalisemula pada Sabtu depan (15 Okt) bagi menyempurnakan Istiadat Menghadap dan Menjunjung Duli, di istana yang sama.

Istiadat pemasyhuran itu turut disaksikan kerabat diraja yang lain.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein bersama isteri Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.