Kiriman pada: Mon, Feb 22nd, 2016

Terengganu bangun projek akuapolitan bantu nelayan

Kongsi maklumat ini
Tags

AHMAD RAZIF ABD RAHMAN / JEBASINGAM ISSACE JOHN / MESYUARAT ECERKUALA TERENGGANU: Terengganu akan membangunkan Projek Akuapolitan pertama di Malaysia, yang bertindak sebagai skim pembasmian kemiskinan untuk komuniti nelayan. Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) itu yang akan dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kuala Nerus, menggunakan model sama seperti projek agropolitan, iaitu projek berasaskan pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Ia akan dibangunkan sebagai zon penangkapan ikan laut bersepadu dan mapan, merangkumi pembinaan Terminal Perikanan Akuapolitan, Perkampungan Pemprosesan Ikan Akuapolitan dan Pusat Penyelesaian Menyeluruh Perikanan (Akuapolitan Total Marine Solutions Centre). Projek itu yang dijangka bermula April depan, bakal memanfaatkan 451 peserta dalam industri penangkapan ikan dan perusahaan berkaitan, dengan 90 peratus daripada mereka adalah individu berpendapatan rendah dalam kategori B40. Peserta AKN terdiri daripada nelayan dari tujuh kampung di Seberang Takir, iaitu Kampung Seberang Pak Abu, Kampung Seberang Takir, Kampung Batin, Kampung Baharu Seberang Takir, Kampung Telaga Daing, Kampung Teluk Ketapang dan Kampung Tok Jembal. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata AKN adalah projek Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11). Katanya, projek Akuapolitan membabitkan penyertaan seluruh ahli keluarga peserta, sekali gus akan memberi impak kepada setiap aspek kehidupan mereka. “Pembangunan AKN secara holistik dan menyeluruh, yang mana peserta berpeluang menjana pendapatan bulanan lebih tinggi,” katanya selepas sesi taklimat dan mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Terengganu 2016, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John. Ahmad Razif berkata, peserta berpeluang mengambil bahagian dalam keseluruhan rantaian nilai industri perikanan, iaitu daripada perikanan persisiran dan laut dalam hingga pemprosesan produk perikanan serta penyelarasan proses pembungkusan, pemasaran dan pengedaran. Projek itu juga akan memanfaatkan anak peserta, yang mana mereka yang bersekolah akan mendapat manfaat daripada program Latihan Kemahiran Akademik Empower ECER. Suri rumah dan belia menganggur pula berpeluang mengikuti Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Empower ECER. Katanya, ECERDC sudah melantik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai perunding untuk menjalankan kajian sosio-ekonomi, strategi pembangunan dan pelaksanaan menyeluruh AKN. “Kajian bermula pada November lalu dan dijangka siap April depan sebelum diteruskan dengan pelaksanaannya,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.