Kiriman pada: Thu, Feb 23rd, 2017

Terima Hakikat Gagal Tarik Ahli PAS

Kongsi maklumat ini
Tags

Shah Alam – Parti Amanah Negara perlu menerima hakikat bahawa parti itu gagal menarik ahli PAS untuk menyertai perjuangan mereka, kata Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Sehubungan itu, Iskandar berkata, kenyataan seorang pemimpin parti serpihan itu bahawa PAS akan berpecah, disifatkan pandangan ‘seseorang yang mahu lari daripada kenyataan’.

“Saya menggesa parti ini agar tidak lari daripada kenyataan dan berpijaklah di bumi yang nyata. Hentikan bermain dengan persepsi untuk menutup kelemahan sendiri.

“Adalah satu kenyataan parti serpihan ini gagal menggugat PAS, malah gagal menarik ratusan ribu ahli PAS seperti mana yang didakwa mereka sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, berkata Himpunan Rang Undang-Undang 355 (H355) di Padang Merbok baru-baru ini, membuktikan ahli PAS masih komited bersama agenda perjuangan parti itu.

“Oleh itu tidak nampak sebarang tanda bahawa PAS akan berpecah. Perpaduan ahli PAS begitu terserlah pada H355. Ia juga membuktikan bahawa PAS terus berupaya menggerakkan ahlinya apabila ratusan ribu hadir di Padang Merbok.

“Jika benar Parti Amanah sudah menarik separuh ahli PAS kepada parti mereka, sudah tentu bilangan ahli mereka hari ini melebihi 500,000 orang. Tetapi, kita tidak nampak ini sudah berlaku,” katanya.

Kenyataan Iskandar dipercayai merujuk kepada dakwaan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub yang disiarkan sebuah portal berita hari ini, bahawa kompromi PAS dan UMNO menyebabkan PAS berpecah dua.

Salahuddin yang juga bekas Naib Presiden PAS, berkata perkara itu sukar diterima terutamanya dalam kalangan penyokong dan ahli PAS, kerana ia membabitkan soal dasar.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.