Kiriman pada: Sat, Jan 14th, 2017

Terus Jumpa TH Bagi Pakej Haji

Kongsi maklumat ini
Tags

Alor Gajah – Orang ramai yang bercadang mengerjakan haji pada musim depan disaran berurusan terus dengan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mendapatkan pengesahan agensi pelancongan menawarkan pakej haji dan diiktiraf.

TH mempunyai senarai syarikat diiktiraf dan data mengenai jumlah kuota diberi kepada sesebuah syarikat untuk membawa jemaah haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan pakej tawaran agensi yang dilihat murah dan menarik.

“Namun, ia tidak memberi jaminan dari aspek keselamatan dan kebajikan mereka sebelum dan selepas kembali dari Tanah Suci. “Lebih baik terus berurusan dengan TH dan dapatkan senarai sah,” katanya.

Beliau mengulas senarai 19 agensi pelancongan menawarkan perkhidmatan pakej haji bagi musim haji 1438H/2017M yang dikeluarkan TH, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, saranan itu bertujuan mengelak orang ramai daripada tertipu kerana terlalu banyak kes pada masa kini menunjukkan syarikat mengambil jalan mudah dengan menawarkan pakej murah tetapi tidak berdaftar dan diiktiraf TH.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis penutup Tilawah al-Quran peringkat Parlimen Alor Gajah 1438H/2017 di Masjid Al-Walid, Machap di sini, hari ini.

Katanya, kebanyakan kes jemaah haji atau umrah terkandas di lapangan terbang dan tidak dapat pulang ke tanah air sebelum ini bukan saja berpunca daripada kegagalan agensi swasta mendapatkan pengiktirafan kerajaan, malah tidak mendapat hak ketibaan di lapangan terbang di Arab Saudi walaupun memperoleh visa.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.