Kiriman pada: Wed, Jul 22nd, 2015

The Reds Tiba Di Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

LIVERPOOLPetaling Jaya – Kelab Bola Sepak Liga Perdana Inggeris, Liverpool atau lebih dikenali sebagai ‘The Reds’ yang tiba di Saujana Hotel Resort,Subang, malam tadi menerima sambutan selamat datang gaya Malaysia dari peminat tempatan.

The Reds tiba di hotel itu pada pukul 9 malam dan disambut dengan paluan kompang, kalungan bunga dan sorakan ‘You’ll Never Walk Alone’ dan nyanyian lagu kelab daripada kira-kira 100 penyokong setia.

Liverpool dijangka menurunkan kesebelasan utamanya ketika menentang skuad pilihan Dollah Salleh pada Jumaat malam di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan persahabatan antarabangsa.

“Kami (peminat) mahu mengambil peluang ini untuk melihat pemain secara dekat dan menyaksikan permainan mereka secara langsung di negara kami sendiri.

Saya harap mereka akan menikmati makanan di sini dan walau apa pun kami akan tetap menyokong mereka,” kata seroang peminat tegar Mohd Aizad Hassan.

Sementara itu, seorang lagi peminat S.Puvarasan berkata dia dan rakannya amat teruja dengan ketibaan Liverpool dan tidak sabar untuk menyaksikan perlawanan Jumaat ini.

“Kami menunggu di sini selama lima jam untuk melihat pemain dan gembira kerana akhirnya berjumpa mereka. Untuk (Steven) Gerard kami akan merinduinya tetapi kami yakin akan ada Gerrard yang lain tidak lama lagi di Anfield,” kata peminat berusia 29 tahun itu.

Satu sidang akhbar dijadualkan pada hari ini di resort berkenaan sementara sesi latihan rasmi dijadualkan Khamis ini di Stadium Nasional.

Selain itu, pasukan yang dibarisi bintang bola sepak itu dijadualkan terlibat dalam pelbagai aktiviti dengan peminat tempatan sepanjang kehadiran mereka di Malaysia.

The Reds memulakan jelajah pramusim mereka dengan menewaskan Thai All Stars 4-0 di Bangkok pada 14 Julai lepas sebelum menewaskan pasukan A-League, Brisbane Roar 2-1 Jumaat lepas dan kemenangan 2-0 ke atas Adelaide United, di Australia kelmarin.

Kelab Inggeris itu akan meneruskan jelajah ke Eropah Utara untuk perlawanan terakhir pramusim mereka menentang pasukan Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos di Stadium Sonera, Helsinki yang boleh memuatkan 10,770 penonton.

Tiket perlawanan Pilihan Malaysia menentang Liverpool dijual pada harga RM58 (pelajar), RM88, RM158 dan RM228 dengan jumlah tempat duduk VIP yang terhad pada harga RM428 dan RM328.

Tiket kini boleh dibeli secara dalam talian di ticketpro.com.my, talian hotline +603-7880-7999, cawangan Ticketpro selain cawangan New Balance and Sports Empire.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.