Kiriman pada: Tue, Aug 18th, 2015

Tiada Anggota Parlimen BN Terlibat Komplot Guling Kerajaan

Kongsi maklumat ini
Tags

Zahid-Hamidi1Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu nama 20 Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN), yang didakwa oleh pihak tertentu terbabit dalam komplot untuk menggulingkan kerajaan, dibersihkan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan tindakan membersihkan nama individu berkenaan penting kerana kesemua Anggota Parlimen itu tidak terlibat dalam usaha pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Tidak ada seorang pun daripada 20 Anggota Parlimen BN, sebagaimana terpapar di dalam blog tertentu, yang telah didekati untuk dibeli bagi menandatangani akuan bersumpah (menggulingkan kerajaan) itu.

“Saya ingin sahkan tidak ada seorang pun daripada 20 (Anggota Parlimen) itu yang telah menandatangani akuan bersumpah berkenaan. Sebab itu, bersihkanlah nama mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian sebagai mengulas laporan blog tertentu yang menyenaraikan nama 20 Anggota Parlimen BN sebagai antara individu yang bekerjasama dengan pembangkang untuk membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui persidangan Dewan Rakyat pada Oktober depan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.