Kiriman pada: Fri, Jul 24th, 2015

Tiada ihsan untuk Harimau Malaya malam ini

Kongsi maklumat ini
Tags

malaysia_lfcKUALA LUMPUR: Andai pasukan Pilihan Malaysia mengharapkan sedikit simpati daripada kelab gergasi Inggeris, Liverpool dalam pertemuan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, mereka boleh melupakan saja impian itu. Bagi pemain tengah skuad The Reds, Adam Lallana, tiada laluan mudah untuk tuan rumah ketika perlawanan pra musim itu cukup penting bagi semua pemain kelab itu memikat pengurus pasukan, Brendan Rodgers menjelang permulaan saingan musim 2015/16. “Kami menganggap aksi pra musim cukup penting dan kini tinggal dua atau tiga perlawanan lagi untuk kami memikat pengurus sebelum musim baru bermula. “Ini adalah peluang terbaik untuk pemain membuktikan kecergasan serta gambaran awal apa yang bakal kami harungi dalam perlawanan pertama EPL (Liga Perdana Inggeris),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan rasmi The Reds di Stadium Nasional, malam tadi.

Pemain antarabangsa England berusia 27 tahun itu juga teruja dengan sokongan hebat yang ditunjukkan penyokong tempatan skuad The Reds sejak ketibaan pasukan itu dari Australia, Isnin lalu, sambil diiringi lagu rasmi kelab ‘You’ll Never Walk Alone’. Ketua pasukan, Jordan Henderson turut memuji keadaan padang di Stadium Nasional. “Keadaan padang cukup baik. Penyokong Liverpool di sini juga hebat dan saya harap lebih ramai yang akan datang menyaksikan perlawanan malam esok,” katanya. Liverpool membelasah kelab Liga Super, Felda United 7-0 dalam satu perlawanan latihan selepas sesi latihan rasmi itu tamat. Kelab Merseyside itu memulakan Jelajah Pra Musim mereka dengan menundukkan Thai All Stars 4-0 di Bangkok pada 14 Julai dan menundukkan kelab Liga Australia, Brisbane Roar 2-1 tiga hari kemudian, sebelum mengalahkan Adelaide United 2-0 pada Isnin lalu Skuad The Reds akan meneruskan perlawanan terakhir pra musim mereka di Eropah Utara menentang kelab Finland, HJK Helsinki pada 1 Ogos. Kali terakhir Liverpool beraksi di Malaysia adalah pada 2011 apabila skuad bimbingan Datuk K Rajagobal memberikan aksi membanggakan di Stadium Nasional yang dipenuhi penonton sebelum tewas 3-6. Sehingga malam tadi, 60,000 tiket sudah terjual. Tiket berharga RM58 (pelajar), RM88, RM158 serta RM228 dan tempat duduk VIP terhad pada harga RM428 dan RM328. Tiket boleh dibeli secara dalam talian ticketpro.com.my, hotline +603-7880-7999, cawangan Ticketpro dan New Balance serta Sports Empire.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.