Kiriman pada: Wed, Aug 12th, 2015

Tiada Kumpulan Najib, Muhyiddin

Kongsi maklumat ini
Tags

umnoTerengganuKUALA TERENGGANU – Umno Terengganu menafikan wujud dua kumpulan di negeri ini yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kumpulan lain yang menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun krisis dalaman Umno digambarkan semakin ketara selepas rombakan semula Kabinet sehingga Umno Terengganu turut terkena tempiasnya, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menegaskan perkara itu tidak mendatangkan masalah di peringkat parti.

Sebaliknya beliau menegaskan, ia sebagai proses untuk memperkuat barisan kerajaan sebagaimana dijelaskan PM dan perlunya kepada penstrukturan semula sebagaimana keputusan dibuat baru-baru ini walaupun ada yang tidak dapat menerimanya dengan mudah.

“YAB PM memerlukan satu kumpulan ataupun satu sokongan yang padu dalam kita hendak mengatasi dan menangani permasalahan yang kita hadapi sekarang, lebih-lebih lagi kita melihat masalah ekonomi akan ketara pada masa akan datang. Jadi kalau tidak ada satu kumpulan yang betul-betul boleh membantu YAB PM, saya nampak perkara ini amat sukar diselesaikan.

“Tetapi dengan perubahan yang telah dibuat, saya yakin dan percaya (terhadap barisan Kabinet baharu) dan kerajaan negeri Terengganu serta Umno Terengganu memang memberi sokongan penuh atas keputusan yang dibuat oleh YAB PM,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Majlis Hari Raya Umno Terengganu di hadapan Pejabat Umno Terengganu.

Beliau berkata, bagi pihak yang masih lagi tidak dapat menerima keputusan itu, ia bukanlah masalah kepada parti kerana kebanyakannya sedia maklum pertukaran jawatan timbalan perdana menteri bukanlah kali pertama berlaku dalam kerajaan.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu sudah tentu memerlukan masa dan beliau percaya, masa juga akan menentukan segala-galanya, lebih-lebih lagi apabila Najib bertegas memastikan isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB) yang dipertikai beberapa menteri termasuk Muhyiddin sebelum ini untuk diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

“Ada masa lima bulan lagi, jadi kita tunggu dan lihat tindakan dibuat YAB PM. Kita kena sokong sebab YAB PM telah janji beliau akan menyelesaikan segala isu yang telah timbul. Saya yakin dan percaya tindakan yang telah diambil oleh YAB PM sudah dibuat kajian dan sudah difikirkan sebaik-baiknya dan sudah ada perancangan bagaimana untuk seterusnya.

“In shaa ALLAH kita beri masa sebagaimana kita beri masa kepada Tun Mahathir menyelesaikan isu Anwar Ibrahim. Kenapa kita tidak boleh beri masa kepada YAB PM untuk menyelesaikan isu-isu yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.