Kiriman pada: Fri, Nov 13th, 2015

Tiada pihak ketiga urus TRX, Bandar Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

1mdb-malaysiaKUALA LUMPUR: Syarikat pembangunan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menafikan pihaknya pernah mengeluarkan surat untuk memberi kuasa kepada pihak ketiga sebagai pengurus projek bagi pembangunan di Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX). Dalam satu kenyataan hari ini, 1MDB menjelaskan, surat tertera logo kerajaan Malaysia, berserta kepala surat Perbadanan Bandar Malaysia, dikeluarkan pihak ketiga itu yang dikenali sebagai Khidmat Runding Jatipadu adalah palsu. “Menarik perhatian kami bahawa ada pihak ketiga yang tidak berkaitan atau dibenarkan oleh 1MDB atau Kerajaan Malaysia mengaku dirinya sebagai pengurus projek bagi pembangunan Bandar Malaysia dan TRX.

“Pihak ketiga ini mengeluarkan surat tawaran pelantikan tanpa kebenaran 1MDB dan anak syarikat dan Kerajaan Malaysia kepada syarikat lain untuk mengambil bahagian dalam projek itu,” kata kenyataan itu. Berdasarkan pengesahan diterimanya, Perbadanan Bandar Malaysia juga tidak wujud dan logo Kerajaan Malaysia yang digunakan dalam surat terbabit diperoleh secara tidak wajar. “Alamat pejabat yang diberikan oleh Khidmat Runding Jatipadu dalam surat-surat itu tidak wujud. “Surat palsu itu dirujuk kepada kami oleh sesetengah penerima, dengan tawaran untuk melantik mereka sebagai pemaju bersama atau perunding sewajarnya untuk projek Bandar Malaysia di Sungai Besi,” katanya. Surat palsu itu juga katanya meminta syarikat yang berminat supaya mengemukakan pendaftaran syarikat mereka, profil dan penyata kewangan, bersama sekali dengan bayaran dalam bentuk bank draf atau cek syarikat. Sehubungan itu katanya, 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE) adalah pemaju induk dan pengurus utama bagi kedua-dua projek pembangunan strategik negara itu. Berhubung dengan Bandar Malaysia, jelas kenyataan itu, 1MDB RE hanya membenarkan syarikat perkhidmatan hartanah CH Williams Talhar dan Wong (WTW), untuk mendapatkan khidmat pihak ketiga sebagai cadangan. “WTW adalah penasihat transaksi yang ditetapkan untuk Permintaan Bandar Malaysia bagi proses cadangan. Proses ini bermula pada Jun lalu dan sudah berjaya ditutup pada November 2015. “Pembangunan TRX sekarang tidak menjalankan proses mencari pemaju bersama atau perunding,” katanya. 1MDB RE juga sudah membuat laporan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.