Kiriman pada: Wed, Jul 8th, 2015

Tiada Sebab Untuk Tangkap Dr Mahathir

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI KHALID ABU BAKARKuala Lumpur – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak cadangan pihak tertentu agar polis menangkap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dikatakan membuat kritikan yang menjejaskan kredibiliti Perdana Menteri dan kerajaan.

“Tiada sebab untuk menangkap Dr Mahathir. Cadangan tersebut adalah satu tindakan yang nakal dan saya tidak akan melayan permintaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Ops Selamat 7/2015 sempena Hari Raya Aidilfitri di KL Sentral.

Isnin lalu, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah dalam akaun Twitter mencadangkan supaya polis bertindak cepat dan menangkap Dr Mahathir ekoran kritikan berterusannya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata siasatan kes dakwaan dana 1MDB yang diselewengkan dan pembelian kontroversi aset Dudley International House di Melbourne, Australia oleh MARA Incorporated Sdn Bhd, tidak boleh didedahkan sehingga siasatan selesai kerana ia boleh mengganggu siasatan dan bertentangan dengan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sesiapa sahaja yang mendedahkan siasatan yang dijalankan oleh pasukan khas boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terlampau ghairah dalam mengemukakan pendapat dan menyebarkan maklumat yang mereka terima di laman sosial berkaitan dengan dua isu itu yang sedang hangat dibincangkan ketika ini.

Khalid berkata mengikut Akta SPRM, sesiapa sahaja yang mendedahkan siasatan yang dilakukan oleh pasukan khas sama ada berkaitan 1MDB atau pembelian aset oleh MARA Incorporated Sdn Bhd, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.