Kiriman pada: Wed, Aug 5th, 2015

Tiada undang-undang khusus untuk dedah penderma badan politik – SPRM

Kongsi maklumat ini
Tags

The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC)Kuala Lumpur – Tiada undang-undang khusus bagi membolehkan mana-mana pihak untuk mendedahkan pihak yang didakwa memindahkan RM2.6 bilion dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, ketiadaan akta khusus itu juga menyebabkan tiada undang-undang yang menyatakan menjadi suatu kesalahan jika memasukkan sejumlah wang kepada ahli politik.

Katanya, SPRM sudah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan akta khusus itu sejak 2008 lagi bagi membolehkan semua ahli politik mengisytiharkan sumber kewangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak, namun sehingga kini belum terlaksana.

“Derma kalau di bawah takrif suapan adalah satu takrif suapan di bawah Akta SPRM, cuma isu yang kita kaitkan itu adalah derma politik di mana kita tidak mempunyai undang-undang khusus.

“Disebabkan tiada undang-undang khusus itu, kita tidak perlu melaporkan siapa yang bagi dan dari mana wang itu datang. Terpulang kepada individu masing-masing sekiranya mereka mahu mendedahkan secara suka rela atau pun tidak.

“Berbanding India dan Indonesia, mereka mempunyai akta berkenaan menyebabkan semua ahli politik termasuk pembangkang perlu memaklumkan sebarang dana dan tujuan yang diperoleh daripada mana-mana pihak dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis ‘Luncheon Talk’ dan Sambutan Aidilfitri SPRM bersama Sektor Swasta. Turut hadir, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Abd Aziz Aban.

SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion itu juga sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.

“SPRM sebenarnya tidak terbabit dalam siasatan 1MDB, sebaliknya hanya terbabit dalam siasatan berkaitan SRC International Sdn Bhd.

“Ramai yang beranggapan SPRM menyiasat isu 1MDB, sedangkan kami tidak terbabit langsung dengan perkara itu. 1MDB disiasat polis dan saya meminta masyarakat tidak mengaitkan SPRM dengan 1MDB,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Lujnah Penerangan, Dakwah dan Pendidikan PAS Pasir Puteh dan NGO Royalti turut menyerahkan memorandum sokongan kepada SPRM supaya terus melaksanakan tugas dengan lebih baik, tidak berputus asa dan telus.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.