Kiriman pada: Thu, Aug 20th, 2015

Tidak menyertai Bersih bukan bermakna tidak patriotik

Kongsi maklumat ini
Tags

1mdb_nor0907f_620_420_100KUALA LUMPUR: Majoriti rakyat Malaysia yang memilih untuk tidak menyertai demostrasi jalanan menunjukkan bahawa mereka menzahirkan sifat patriotik dengan cara tersendiri.

Pandangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed ketika mengulas mengenai perancangan kumpulan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk menganjurkan demonstrasi jalanan pada 29 dan 30 Ogos ini di ibu negara.

“Kalau hendak pergi berdemonstrasi pun, biarlah mengikut peraturan yang ada. Saya juga berpendapat bahawa rakyat Malaysia (bersifat) patriotik dengan cara tersendiri. Bukanlah kerana dengan tidak menyertai Bersih itu bermakna mereka tidak patriotik.

“Adakah kerana sekumpulan kecil yang hendak berdemonstrasi dan mengatakan mereka melakukannya untuk kepentingan demokrasi, bermakna puluhan juta orang lagi yang tidak menyertainya tidak patriotik?” ujar Nur Jazlan.

Beliau ditemui wartawan selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 148 bekas petugas polis dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Perdana Felda di ibu negara.

Tambahnya, menghayati erti Hari Kemerdekaan negara dan mengenang jasa anggota polis yang telah berkorban jiwa dan raga menentang Komunis pada zaman darurat adalah lebih patriotik.

“Demonstrasi jalanan bukanlah cara terbaik untuk menunjukkan seseorang itu patriotik kepada negara,” ujar beliau.

Pihak polis sehingga kini tidak membenarkan penganjur Bersih 4 untuk menggunakan lokasi sekitar Dataran Merdeka untuk mengadakan demonstrasi tersebut memandangkan lokasi itu sudahpun disiapkan lebih awal untuk sambutan hari kebangsaan.

Beliau menegaskan, pihak penganjur Bersih 4 patut menghormati polis kerana polis bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman masyarakat serta diberikan kuasa oleh Perlembagaan untuk menguatkuasakan perkara tersebut.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.