Kiriman pada: Wed, Feb 15th, 2017

Tiga ADUN Bebas Tidak Layak Cadang Ketua Pembangkang

Kongsi maklumat ini
Tags

Melaka -Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang keluar daripada DAP dan menjadi ADUN Bebas tidak layak mencadangkan ketua pembangkang baharu, kata Speaker DUN Melaka Datuk Othman Mohamad.

Beliau berkata dalam Persidangan DUN Melaka, ketua pembangkang adalah daripada sebuah parti politik dan walaupun bilangan ADUN Bebas itu sama dengan ADUN DAP ketika ini, ADUN Bebas itu tidak mewakili mana-mana parti politik.

Katanya, seorang lagi ADUN pembangkang iaitu Dr Md Khalid Kassim daripada PAS juga tidak layak menjadi ketua pembangkang walaupun tiga ADUN Bebas itu menyokong pelantikan itu.

“Ketua pembangkang mesti daripada parti politik iaitu sama ada DAP atau PAS, sekarang DAP ada tiga wakil manakala PAS ada seorang wakil…jadi DAP lebih banyak wakil maka layak menjadi ketua pembangkang.

“Kelazimannya kita (DUN Melaka) akan terima surat daripada setiausaha agung parti menamakan ketua pembangkang pilihan mereka, tiga ADUN Bebas itu tiada parti jadi mereka tidak layak mencadangkan ketua pembangkang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang DUN Melaka, Khoo Poay Tiong yang juga ADUN Ayer Keroh, berkata pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat adakah tiga ADUN bebas itu akan bekerjasama dengan PAS untuk melantik ketua pembangkang baharu.

Tiga ADUN yang bertindak keluar parti itu ialah Lim Jak Wong (Bachang), Chin Choon Seong (Kesidang) dan Goh Leong San (Duyong), manakala anggota Parlimen DAP, Sim Tong Him (Kota Melaka) turut melakukan tindakan sama.

Pada masa ini, selain Khoo, dua lagi ADUN DAP di DUN Melaka ialah Tey Kok Kiew (Bandar Hilir), yang juga Pengerusi DAP Melaka, dan Lai Keun Ban (Kota Laksamana).

Goh, yang sebelum ini Ketua Pembangkang DUN Melaka, meletak jawatan pada 8 Okt 2013 akibat pertelagahan dalaman dan sejak sekian lama DUN Melaka bersidang tanpa ketua pembangkang.

Khoo dilantik ke jawatan itu pada 28 Mac tahun lepas.

Othman berharap semua ADUN di negeri ini mengambil sikap profesional dan bersidang dengan penuh sopan demi memastikan isu rakyat dapat dibincang dengan sebaiknya pada persidangan itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.