Kiriman pada: Tue, Jan 31st, 2017

Tiga Disyaki Anggota Daesh Ditahan, Senjata Api Dirampas

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Dua laras senjata dirampas dalam tiga serbuan berasingan ke atas tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kumpulan pengganas Daesh, di sekitar Kuantan dan ibu negara.

Ketiga-tiga mereka termasuk seorang warga Indonesia berstatus permastautin tetap (PR) berusia antara 32 hingga 38 tahun itu ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman, dalam serbuan yang dijalankan sejak 27 hingga 29 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata dalam serbuan berkenaan selaras senjata api shotgun (Trusty PM4), selaras senjata angin dan buku Tarbiyah Jihadiyyah, dirampas dari dua suspek yang ditahan di Kuantan.

“Salah seorang mereka yang mendapat berstatus PR ini bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysian Airlines Berhad (MAB) dikesan pernah ke Syria pada tahun 2013.

“Di sana, dia kemudian mempunyai hubungan dengan rakyat Malaysia yang mengganggotai kumpulan pengganas Daesh sebelum kembali ke sini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, suspek juga turut merancang untuk membawa isterinya menyertai Daesh dalam masa terdekat.

“Seorang lagi suspek yang ditahan di Kuantan, bekerja sebagai pengawal keselamatan turut berhasrat menyertai Daesh dalam masa terdekat,” katanya.

Khalid berkata, suspek yang ditahan di Kuala Lumpur pula adalah individu yang membuat ugutan untuk melancarkan serangan bom ke atas Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Suspek yang mendakwa Jabatan Mufti Negeri Sembilan tidak mengikut syariat Islam, ini juga dikesan pernah membuat ugutan bunuh serta mengugut akan melancarkan serangan bom di sekitar Kuala Lumpur.

Kesemua mereka ditahan di kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab 5A – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.