Kiriman pada: Fri, Jan 27th, 2017

Tiga Kementerian Perlu Tingkat Kerjasama Jamin Pertumbuhan Industri Komoditi Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu tiga kementerian yang menjalankan tugas berkaitan pekebun kecil dan komoditi meningkatkan kerjasama bagi menjamin pertumbuhan industri komoditi negara.

Kementerian terbabit ialah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Insya-Allah, saya percaya melalui kerjasama tersebut akan mampu memastikan kestabilan harga, mengukuhkan lagi sumbangan industri komoditi kepada eksport negara.

“…dan yang paling penting sekali memastikan kebajikan semua pekebun kecil serata Malaysia sentiasa terpelihara, Insya-Allah,” kata Najib dalam catatan terbaharunya di laman blog rasmi beliau www.najibrazak.com hari ini.

Beliau berkata kerajaan sedia maklum bahawa tahun lepas adalah tahun yang mencabar untuk pekebun kecil akibat ketidaktentuan pasaran dunia dan harga komoditi yang tidak stabil.

“Saya juga sedar bahawa ada dalam kalangan pembangkang tampil memberikan idea dan cadangan seperti memperkenalkan harga lantai bagi getah atau pendapatan tetap bulanan.

“Cadangan seperti ini adalah satu langkah populis penyelesaian jangka pendek yang cuma akan mendatangkan mudarat pada jangka masa panjang,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bukan sahaja mengambil langkah jangka pendek seperti pemberian insentif malah pendekatan jangka panjang melalui usaha meneroka pasaran antarabangsa bagi menambah lagi nilai dan harga komoditi keluaran Malaysia.

Sebagai contoh, katanya, dalam pertemuan beliau dengan Presiden Xi Jinping ketika lawatan kerja ke China baru-baru ini, beliau telah mengutarakan keinginan Malaysia supaya China kembali menjadi pengimport terbesar komoditi minyak sawit Malaysia selain turut menyentuh mengenai komoditi-komoditi lain seperti getah.

“Alhamdulillah, pertemuan tersebut telah membuka laluan untuk kita berjaya meningkatkan permintaan daripada China dan kembali menjadi pengeksport besar komoditi seperti getah dan minyak sawit ke sana,” kata beliau.

Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan kebajikan dan pendapatan pekebun kecil kekal terpelihara.

“Dalam Bajet 2017, saya telah mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi meningkatkan kualiti produk dan tanaman sawit selain menaik taraf jalan ladang, dan juga RM286 juta untuk meningkatkan pengeluaran eksport perladangan sawit, koko, lada dan getah.

“Kita juga menyediakan geran bernilai RM280 juta bagi menggalakkan pelaburan dalam industri hiliran dan menghasilkan barangan bernilai tambah tinggi, yang sudah tentu akan meningkatkan permintaan terhadap minyak sawit mentah,” kata beliau.

Sebagai langkah tambahan bagi memastikan pendapatan pekebun kecil terus stabil dan tidak terlalu terjejas dengan pasang surut harga pasaran komoditi dunia, katanya kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah memperuntukkan RM27 juta bagi melaksanakan program meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“Program-program ini akan memberi manfaat kepada 500,000 pekebun kecil seluruh negara melalui aktiviti ekonomi tambahan dan keusahawanan seperti perusahaan madu kelulut, cendawan tiram, penanaman nenas dan pisang serta bermacam-macam lagi,” kata beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.