Kiriman pada: Tue, Jul 21st, 2015

Tindakan ‎SKMM Sekat The Sarawak Report Tepat

Kongsi maklumat ini
Tags

11755764_10207410527201044_6647445884930147106_nKUALA LUMPUR – Pelbagai pihak berpendapat tindakan‎ Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyekat akses terhadap portal The Sarawak Report sebagai tepat pada masanya kerana ia cuba memporak-perandakan negara dengan agenda tersendiri.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berkata, kebebasan dalam media harus mempunyai batas tertentu dan tidak sehingga mengancam perpaduan, keharmonian kaum dan seterusnya menggugat kestabilan negara.

“Tambahan pula, wujudnya bahan-bahan tidak sahih yang diolah dari sudut pandangan seorang di negara barat yang tidak tahu budaya dan keadaan dalam negara.

“Ia boleh menjadi satu perkara yang menggugat keselamatan dan kemakmuran kita. Jika ia ada agenda sendiri untuk melancarkan peperangan saraf yang boleh merosakkan minda rakyat Malayia sendiri,” katanya.

Wan Mahmood turut mengulangi pendirian persatuan itu, yang mewakili hampir 45,000 pesara, supaya kerajaan mengadakan kawalan lebih ketat kepada media sosial yang diibaratkan seperti sebilah pisau.

“Media sosial umpama pisau. Jika di tangan orang berhati mulia boleh membawa manfaat kepada manusia. Tetapi jika di tangan orang berniat buruk, boleh mencederakan atau membunuh manusia lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan pengamal media sosial supaya mengambil iktibar daripada tindakan terhadap The Sarawak Report dengan bijak menapis bahan berita sebelum dimuat naik ke portal masing-masing.

Semalam SKMM memutuskan untuk menyekat laman sesawang The Sarawak Report http://www.sarawakreport.org kerana ia didapati boleh mengganggu-gugat keselamatan negara.

SKMM berkata, tindakan itu dibuat susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang ramai bahawa laman sesawang itu telah memaparkan kandungan yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sedang dalam siasatan.

Sekatan itu dibuat mengikut peruntukan sedia ada dalam Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan tempoh sekatan terhadap laman sesawang berkenaan berkuatkuasa untuk sementara waktu sehingga tamatnya siasatan yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas.

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata The Sarawak Report gagal melaksanakan tugasnya sebagai media yang berperanan membina negara dan menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat.

“Tiada beza The Sarawak Report dengan The Wall Street Journal sebab kedua-duanya tidak mempunyai agenda untuk melindungi Malaysia dan rakyat, tetapi untuk menjahanamkan negara,” dakwanya.

Pada masa yang sama, beliau meminta pengamal media supaya menghargai kebebasan media yang diberikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tetapi kebebasan itu perlu diiringi rasa tanggungjawab dan kasih kepada kepentingan dan kestabilan negara,” katanya.

Ketua Eksekutif Yayasan Belia Malaysia Datuk Mustapa Othman yang turut menyokong tindakan SKMM berkata, kenyataan tidak benar daripada mana-mana laman web termasuk The Sarawak Report boleh mengundang huru-hara dalam kalangan rakyat.

Penasihat BlogHouse Malaysia, Datuk Ahirudin Attan pula berkata, tindakan SKMM menyekat laman sesawang yang dilihat boleh mengancam keselamatan negara adalah wajar.

Pada masa sama, beliau mencadangkan SKMM supaya menyekat lebih awal akses kepada laman sesawang seumpama itu yang boleh mengancam keharmonian negara.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.