Kiriman pada: Mon, Aug 24th, 2015

Tindakan Tegas Terhadap Anggota TLDM Sertai Perhimpunan Bersih

Kongsi maklumat ini
Tags

TAN SRI ABDUL AZIZ JAAFARKuala Lumpur – Tindakan tegas akan diambil kepada anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyertai perhimpunan Bersih 4.0 yang dirancang diadakan hujung bulan ini.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata perhimpunan berkenaan yang akan diadakan di sekitar kawasan awam boleh mengganggu ketenteraman, tambahan ia diadakan ketika hampir dengan sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya ingin mengingatkan anggota TLDM jangan terlibat dengan perhimpunan itu kerana akan menyebabkan mereka (anggota TLDM) berhadapan dengan masalah besar,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Kenaikan Pangkat dan Penganugerahan Pangkat (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) di KD Sri Gombak.

Seramai tujuh pegawai TLDM termasuk seorang pegawai PSSTLDM dinaikkan pangkat.

Majlis itu turut menyaksikan penganugerahan Tauliah Kapten (Kehormat) PSSTLDM kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) HELP University, Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad atas khidmat beliau sebagai penasihat akademik Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) sejak 2006.

Mengenai keselamatan perairan, Abdul Aziz berkata pihaknya antara lain telah meminta pengusaha kapal melaporkan sebarang masalah kecemasan secara terus kepada TLDM.

Ditanya mengenai penyertaan anggota TLDM dalam kumpulan militan IS, Abdul Aziz berkata pemantauan berterusan dijalankan oleh satu pasukan petugas khas.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.