Kiriman pada: Sat, Aug 8th, 2015

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Cuba Hancurkan Hubungan Kukuh Sarawak-Persekutuan

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI AHMAD ZAHID HAMIDIKuching – Kerajaan akan bertindak tegas terhadap pihak yang cuba menghancurkan hubungan kukuh sedia ada antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan.

Ketika memberi amaran itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, termasuk Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan berada di barisan hadapan untuk menghalang cubaan itu.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Hari Raya anjuran RELA Sarawak di Stadium Tertutup Sarawak di sini malam tadi, yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem serta kira-kira 7,000 tetamu, kebanyakannya anggota RELA dari seluruh negeri ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau amat yakin hubungan rapat yang sedia ada antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan akan semakin kukuh pada masa akan datang.

“Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak amat yakin dan memandang tinggi terhadap kepimpinan Adenan.

“Kita, sebagai rakyat, perlu memelihara dengan sepenuh hati hubungan rapat ini kerana ia amat penting untuk membolehkan negeri ini dan negara terus maju,” katanya.

Beliau berkata semangat sebagai rakyat Malaysia juga perlu dipelihara dengan sebaik-baiknya dan diperkukuh oleh rakyat Sarawak, Sabah dan Semenanjung agar negara ini menjadi lebih makmur.

Sementara itu, menyentuh tentang pilihan raya negeri akan datang, Ahmad Zahid berkata beliau yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mendapat sokongan padu daripada rakyat.

“Namun begitu, kami di peringkat persekutuan, bersama-sama anggota kabinet negeri dan persekutuan, pemimpin korporat dan tokoh politik terkemuka akan juga datang membantu,” katanya.

Ahmad Zahid kemudian mengumumkan peruntukan geran RM2 juta kepada RELA negeri sebagai tambahan kepada jumlah sama yang dijanjikan Adenan dalam ucapannya terdahulu.

Beliau juga berjanji akan lebih kerap melawat Sarawak, terutama kawasan luar bandar, dan memperuntukkan lebih banyak dana serta geran untuk pembangunan negeri ini.

“Kami berharap, rakyat tahu untuk membalasnya apabila kerajaan benar-benar memerlukan mereka berbuat demikian,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.