Kiriman pada: Sun, Jul 5th, 2015

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Cuba Mudaratkan Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

ghfgPutrajaya – Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap individu yang cuba memudaratkan ekonomi dan proses demokrasi Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan amaran itu berkata sejak beberapa bulan lepas, dilihat terdapat cubaan untuk menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan kerajaan negara ini yang dipilih secara demokrasi.

“Ini boleh menjadi ancaman terhadap keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Zahid berkata sumber bagi semua dakwaan itu diperoleh daripada data yang didakwa dicuri oleh seorang individu yang telahpun ditahan dan kini disiasat bagi cubaan memeras ugut.

“Sebuah syarikat keselamatan siber antarabangsa bebas, Protection Group International (PGI), telah mengesahkan kecurian itu dan menyatakan bahawa maklumat yang diterbitkan itu boleh dipertikaikan dan tidak boleh dipercayai,” katanya.

“Beberapa laporan media didapati memetik dokumen-dokumen yang tidak disahkan.

“Adakah dokumen itu tulen? Adakah dokumen itu benar-benar wujud? Siapakah kumpulan penyiasat yang tidak dinamakan yang kononnya mengesan pergerakan wang itu?” soalnya.

Ahmad Zahid berkata pelbagai dakwaan dan syak wasangka telah dilemparkan terhadap Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini merupakan amalan kewartawanan tidak bertanggungjawab dan semberono dan perbuatan itu menghampiri kesalahan jenayah,” katanya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.