Kiriman pada: Tue, Jul 14th, 2015

Tingkatkan ibadat 10 terakhir Ramadan

Kongsi maklumat ini
Tags

20140328_121226HATI adalah raja kehidupan. Semua hasil kehidupan (kebahagiaan, ketenangan, kesihatan dan kewangan) sama ada negatif atau positif berpunca daripada hati yang menimbulkan nafsu. Jika tidak dikawal dengan iman, nafsu akan menundukkan akal hingga kita nampak tidak bijak memberi maklum balas dan bertindak. Dengan hati yang positif kita boleh mengawal maklum balas atau tindak balas terhadap sesuatu perkara negatif yang tidak terduga dan kita tidak suka ia berlaku. Sesungguhnya kita tidak mampu menghalang takdir Allah SWT. Kita juga sukar untuk mengubah sikap orang tetapi kita boleh mengubah sikap sendiri. Apabila kita berubah, orang di sekeliling juga turut berubah. Orang yang dalam hatinya ada kebaikan akan mampu memberikan kebaikan kepada orang lain dan mendapat balasan kebaikan daripada orang di sekelilingnya. Keimanan hanya tumbuh dalam hati yang lembut. Hati keras boleh dilembutkan melalui proses penyucian hati dengan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Tamak ilmu, keampunan Allah Dalam kehidupan ini, kita perlu tamak dua perkara sahaja iaitu tamak ilmu dan keampunan Allah SWT. Kefahaman dalam agama adalah jalan untuk mencapai jiwa makrifat dan hanya boleh dicapai dengan penggalian ilmu mengenai ketuhanan. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seseorang hamba-Nya, maka Dia akan memberikan hamba-Nya itu kefahaman dalam agama dan memperlihatkan kepadanya cacat-cela dirinya.” Seseorang yang mengenali, menyayangi serta mengagungkan Tuhan-Nya (Allah SWT) akan mengenali dan menyayangi diri sendiri dan tidak akan meredakan dirinya menjadi hamba selain Allah SWT. Kita tidak akan mengharapkan penghargaan manusia, sebaliknya mengharapkan hanya keredaan Allah SWT. Kita tidak akan menzalimi diri sendiri kerana mengejar duniawi tetapi akan menggunakan duniawi untuk persiapan bekalan hidup di akhirat. Seperti pengakuan Saidina Umar al-Khatab mengenai nikmat hidup di dunia: “Ada tiga perkara yang menyebabkan kalau boleh aku hendak kekal hidup di dunia ini. Pertama, kerana di dunia aku dapat berjihad ke jalan Allah. Kedua, kerana di dunia aku dapat berqiamullail. Ketiga, kerana di dunia aku dapat menghadiri majlis ilmu.” Hakikat hidup kita sekarang, ada orang kuat berjihad tetapi tidak mempunyai waktu untuk berqiamullail dan tidak bersedia menuntut ilmu. Ada orang suka mendalami ilmu tetapi tidak berqiamullail dan berjihad. Ada orang pula suka melakukan qiamullail tetapi enggan mendalami ilmu dan tidak mahu berjihad. Jihad bukan bermakna berperang ke jalan Allah SWT sahaja, dalam konteks zaman kini, jihad termasuk usaha membantu orang ke jalan Allah SWT menggunakan wang ringgit dan masa kerana Allah SWT. Allah Maha Pemurah jika kita pemurah terhadap diri kita iaitu banyak memperuntukkan masa kepada-Nya, sanggup mengorbankan masa tidur untuk bangun malam bermunajat kepada-Nya. Renunglah kata orang bijak pandai: “Padi itu akan diperoleh setelah kita mengolah sawah tempat menanamnya”. Ibadat puasa paling bererti Oleh itu, marilah kita tingkatkan momentum amalan dan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan untuk mendapatkan keampunan Allah SWT, pada malam lailatulqadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada seribu bulan. Jadikanlah ibadah puasa kita yang paling bererti dan mendapat rahmat-Nya, penuh dengan cahaya iman yang menerangi kegelapan untuk menuju reda Allah serta kasih sayang-Nya, sebagai penghapus dosa kita. Banyakkan bermohon kepada Allah SWT semoga membantu kita menjalankan urusan agama, dielokkan urusan dunia tempat kita mencari kehidupan dan urusan akhirat yang padanya tempat kita kembali untuk selama-lamanya. Semoga Allah SWT menetapkan kepada kita takdir yang baik-baik kerana pada malam mulia itu ditentukan takdir kita oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Pada malam itu turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikutnya). Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 4-5) Musibah sebagai ujian Banyak sudah ujian dan musibah yang berlaku di sekeliling yang kita lihat dengan mata fizikal, cuma belum sampai ke mata hati untuk menjadikan ujian serta musibah itu sebagai iktibar. Adakah kita hanya akan tersedar daripada kemungkaran kepada Allah SWT setelah diturunkan ujian atau musibah? Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan tiada sesuatu pun yang menghalang manusia daripada beriman, ketika petunjuk telah datang kepada mereka dan memohon ampun kepada Tuhannya. Kecuali (keinginan menanti) datangnya hukum Allah yang telah berlaku kepada umat yang dahulu atau datangnya azab atas mereka dengan nyata.” (Surah al-Kahfi, ayat 55) Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang kepada hamba-Nya. Walaupun kita pernah melakukan kesalahan terhadap-Nya, jika kita meminta keampunan Allah SWT tetap terima dengan memberikan keampunan biar sebesar manapun dosa itu. Maka usahlah bertangguh memohon keampunan Allah SWT. Memohon keampunan sesama manusia pula, kita perlu mohon maaf dan memaafkan. Maafkan semua orang dan fokuskan kepada kebaikan orang sahaja. Lakukan senaman jiwa, minda dan keimanan dengan cara melatih hati serta minda menerima orang seadanya. Orang yang payah memaafkan orang lain akan mudah marah, merajuk dan berkecil hati. Bermakna nafsu menjadi raja kehidupannya. Analoginya, apabila dipatuk ular, kita mati bukan kerana patukan ular tetapi sebab racun ular yang menjalar ke seluruh tubuh. Orang yang berbuat salah (membuatkan kita marah, hampa, kecewa, merajuk dan berkecil hati) itu umpama patukan ular yang mematuk hanya sekali tetapi racunnya meresap ke seluruh tubuh mangsa dan jika dibiarkan, mangsa akan mati. Demikian jugalah orang yang berbuat salah, menyakitkan hati kita hanya sekali dan mungkin mengambil masa seminit. Adakah kita akan membiarkan emosi marah dan dendam itu seperti racun ular yang terpendam dalam hati berhari-hari, berbulan-bulan atau bertahun hingga membinasakan kehidupan kita? Kita hendaklah memaafkan dengan hati ikhlas. Ingatlah sifat Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Pengampun. Siapa kita untuk tidak memaafkan orang yang sama kedudukan dan kemuliaannya dengan kita kerana yang membezakan kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT adalah keimanan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.