Kiriman pada: Sun, Feb 12th, 2017

TMJ Titah Bebaskan “Mat Tere”

Kongsi maklumat ini
Tags

Johor Bahru -Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menitahkan “Mat Tere”, individu yang ditahan kerana didakwa memuat naik video yang mengeluarkan perkataan jelik terhadapnya dibebaskan dan dihantar pulang ke Kelantan.

Dalam satu kenyataan menerusi Facebook (FB) Johor Southern Tigers, Tunku Ismail hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan memberi titah membebaskan lelaki itu yang sepatutnya tempoh tahanan reman terhadapnya dilanjutkan.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Tunku Ismail percaya Mat Tere tidak bersalah dan dijadikan mangsa oleh individu di pihak atasan bagi tujuan agenda politik.

Tunku Ismail turut mengucapkan syabas kepada kerajaan Kelantan yang menjaga rakyat mereka dengan baik selain mengingatkan individu yang mempunyai niat memecah belahkan rakyat untuk tidak melakukan perkara tidak sepatutnya.

Rabu lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan berkaitan dengan penyebaran video menerusi FB yang menunjukkan seorang lelaki mengeluarkan perkataan jelik pada Tunku Ismail pada jam 1.25 petang, hari Selasa.

Katanya, dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, suspek yang dipercayai terbabit dengan video itu ditahan pada jam 3.50 petang, hari yang sama.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.