Kiriman pada: Fri, Jan 27th, 2017

TN50 Visi Baharu Acuan Anak Muda Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

Baru-baru ini, saya bersama beberapa pemimpin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), berkesempatan menyertai ratusan pemimpin belia lain untuk bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam Sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

TN50, yang diilhamkan Najib dan dicetuskan dalam Bajet 2017 pada Oktober tahun lalu, dikatakan beliau sebuah gagasan baharu buat Malaysia menjelang 2050.

Menurutnya, ia adalah satu visi yang akan digalas anak muda, dipacu Kementerian Belia dan Sukan bagi melihat Malaysia berkembang pesat sebagai negara maju mengikut acuan dan pemikiran jitu anak muda Malaysia dengan identiti negara bangsa; Bangsa Malaysia.

TN50 adalah satu manifestasi jelas keterbukaan kerajaan dalam mendengar suara anak muda mengenai bagaimana Malaysia ini harus dibangunkan dalam tempoh kira-kira 30 tahun lagi.

Saya bersetuju dengan Khairy Jamaluddin bahawa TN50 adalah visi baharu untuk menggambarkan wajah Malaysia mengikut kaca mata orang muda. Dalam ucapan aluan saya di hadapan Najib yang merasmikan Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-62 di Dewan Bahasa dan Pustaka, November lalu, saya menyatakan rasa kagum GPMS terhadap keterbukaan Najib dalam merangka satu visi baharu buat Malaysia dan pada masa sama menyerahkan kepada anak muda untuk menentukan hala tuju serta bagaimana TN50 dapat dicapai.

Ini tidak pernah dilakukan mana-mana pemimpin di Malaysia, memberikan peluang kepada generasi muda untuk menentukan sendiri bagaimana Malaysia harus dipacu dalam tempoh 30 tahun akan datang mengikut idea dan kemahuan mereka sendiri.

GPMS yakin, TN50 ini bukan sebuah program politik dan ia tidak harus dipolitikkan. Platform idea Rakyat harus menerima TN50 ini sebagai satu platform untuk bersama-sama menyumbang idea bagi membentuk Malaysia dengan acuan kita sendiri tanpa sebarang pengaruh luar dan jauh daripada sebarang unsur asing.

Tidak kira apa bangsa, agama dan taraf sosial kita sekali pun, sama ada golongan profesional, pensyarah, pegawai kerajaan, mahasiswa, buruh, nelayan mahupun petani, kita mesti bersama-sama menyumbang idea melalui TN50 bagi memastikan kelestarian pembangunan negara pada masa depan.

Sebagai pertubuhan yang memperjuangkan pendidikan dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera sejak 1948, GPMS mengutamakan setiap dasar, polisi mahupun visi yang digubal dan dirancang kerajaan dengan mempertahankan keindukan orang Melayu dan Bumiputera, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan serta meningkatkan kualiti dan akses pendidikan bermula peringkat prasekolah hinggalah pada peringkat pascasiswazah.

Dalam soal keindukan orang Melayu dan Bumiputera, ia bukan perkara yang perlu dipersoalkan. Matlamat TN50 dalam soal hubungan sosial antara kaum di Malaysia adalah jelas; mengintegrasi rakyat di bawah payung sebuah negara bangsa Malaysia. Pada masa sama mengekalkan identiti negara demokrasi mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang berbilang kaum dan harmoni.

Melalui TN50, perpaduan kaum mestilah dijadikan agenda utama dalam memacu Malaysia pada masa hadapan dan menjadi benteng untuk negara dalam menghadapi ancaman luar. Kita tidak mahu lagi melihat ketegangan kaum yang menyebabkan tercetusnya huru-hara seperti terjadi dalam peristiwa 13 Mei 1969.

Ancaman golongan ekstremis perkauman mesti dihapuskan, termasuk mereka yang mempertikai hak dan keistimewaan kaum tertentu serta membuat kenyataan dan permintaan bersifat perkauman yang keterlaluan. Melalui TN50, sistem perundangan negara juga mesti diperkemaskan, termasuk mengekalkan akta penting yang menjamin keharmonian negara seperti Akta Hasutan dan SOSMA untuk mengatasi golongan cauvinis dan ekstremis perkauman.

Menyentuh soal pendidikan, GPMS juga seperti kerajaan dan rakyat Malaysia mempunyai harapan sama untuk TN50; untuk melihat negara mencapai sistem pendidikan kebangsaan bertaraf dunia. Beberapa dekad lalu, pelbagai perubahan dasar dibuat dalam sistem pendidikan negara akibat perkembangan pesat dalam sistem sosial dan dunia ilmu tanpa sempadan.

Akibatnya, sistem pendidikan kita terbahagi kepada banyak aliran mengikut sistem sosial bangsa atau kawasan tertentu yang mengakibatkan jurang pendidikan besar dalam kalangan rakyat. Jurang pendidikan besar Walaupun negara sudah mencapai usia ke-60 pada 2017, jurang akses pendidikan serta fasiliti antara luar bandar dan bandar masih besar.

Sistem yang ada pada masa ini perlu diperbaiki dari semasa ke semasa agar ia dapat membentuk rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi selain mempunyai mekanisme untuk merapatkan jurang sosial antara rakyat Malaysia. Melalui TN50, GPMS berharap kerajaan dapat perbaharui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) agar sejajar dengan keperluan dan senario semasa.

Sistem pendidikan tidak lagi boleh dijadikan bahan politik dan mesti bebas daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan pembangunan sistem pendidikan kebangsaan.

Justeru, saya berharap golongan muda dapat bersama-sama mencurahkan idea dan pandangan terhadap TN50 melalui siri dialog anjuran Kementerian Belia dan Sukan di seluruh negara.

Ini platform terbaik menyatakan pandangan mengenai bagaimana Malaysia harus dibangunkan menjelang 2050.

Kita mahu melihat pada 2050 nanti, Malaysia berdiri gah di mata dunia sebagai negara maju dan makmur dengan rakyat hidup penuh harmoni.

Oleh Zambri Mohd Isa
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.