Kiriman pada: Tue, Jan 26th, 2016

Tolak andaian kolot TPPA bukan penjajahan AS atau pun kuasa besar

Kongsi maklumat ini
Tags

NAJIB RAZAK / IDC 2016KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata persepsi bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah suatu bentuk penjajahan oleh Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa besar adalah tidak benar sama sekali.

Perdana Menteri menegaskan realitinya ialah penyertaan Malaysia dalam TPPA adalah dengan mengambil kira sepenuhnya kepentingan serta pulangan jangka panjang perjanjian ini kepada negara dan rakyat Malaysia khususnya.

“TPPA pastinya akan membuka lebih banyak ruang kepada Malaysia untuk meneroka pasaran baharu di negara-negara TPPA terutama di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru,” katanya dalam catatan di laman Facebook.

Najib menarik perhatian bahawa perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan pelaburan langsung asing (FDI) bukan sesuatu yang baharu bagi Malaysia.

Malaysia, katanya, sudah memeterai FTA dengan negara-negara seperti Jepun, China, Korea, India, Pakistan, Chile, New Zealand dan Australia.

Oleh yang demikian, kata Najib, tidak harus ada pihak membuat andaian bahawa perjanjian TPPA bakal menggadaikan negara kepada kuasa-kuasa besar.

Beliau menegaskan Malaysia tidak pernah dipaksa mahupun diberi tekanan untuk menyertai TPPA.

“Sebaliknya, pembabitan Malaysia dalam TPPA harus dilihat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing di medan ekonomi global,” kata Perdana Menteri.

Katanya, daripada 12 negara yang bakal menandatangani TPPA, Malaysia adalah satu-satunya negara yang membentangkan TPPA di Parlimen untuk diperdebat dan diratifikasi.

“Justeru, jelas bahawa negara berpegang teguh kepada prinsip demokrasi dengan memastikan pandangan dan kebimbangan rakyat terhadap perjanjian TPPA diambil kira sebelum TPPA ditandatangani,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, FTA seperti TPPA bukan sahaja dapat membuka pasaran kepada produk dan perkhidmatan, malah bakal membantu membangunkan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di samping memberi pilihan barangan pada harga lebih murah kepada rakyat Malaysia.

“Penerimaan baik terhadap TPPA oleh negara-negara TPPA jelas menunjukkan bahawa mereka bersetuju bahawa perjanjian ini adalah peluang terbaik untuk memajukan serta merancakkan perkembangan ekonomi negara mereka,” katanya. Usul untuk memutuskan mengenai penyertaan Malaysia dalam TPPA akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen mulai hari ini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.